KKTM Masjid Tanah komited lahirkan pakar EV

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER LIMAU 11 Oktober – Seiring dengan perkembangan teknologi automotif dunia, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah mahu melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dan pakar bagi menyokong industri penghasilan kenderaan elektrik (EV).

Pengarahnya, Shabudin Said berkata, KKTM Masjid Tanah kini berada pada landasan yang betul dalam memenuhi kehendak semasa industri dan pasaran revolusi industri 4.0 (IR4.0).

Menurutnya, KKTM Masjid Tanah akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa pemain industri automotif terkemuka nasional bagi memastikan graduannya mampu menyumbangkan kepakaran mereka dalam industri EV.

“Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif mampu membawa nama KKTM Masjid Tanah ke peringkat yang lebih tinggi. Malah sejak ditubuhkan lebih 20 pelajar kami dihantar ke luar negara seperti Arab Saudi, Jepun dan beberapa negara lain untuk menjalani latihan industri serta bekerja di sana.

“Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri kita yakin graduan dihasilkan KKTM Masjid Tanah mampu memenuhi permintaan industri di negeri ini terutama dalam industri EV.

“Kami mahu KKTM Masjid Tanah menjadi pengeluar utama tenaga mahir dan pakar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Automotive Symposium 2.0 2023: An Exposure To Electric Vehicle Safety Awareness di Dewan Besar KKTM Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Terdahulu seramai 150 pelajar daripada beberapa institusi TVET membabitkan KKTM Masjid Tanah, Giatmara Simpang Ampat, Durian Tunggal dan Jasin, Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka serta Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin telah menyertai simposium berkenaan.

Peserta diberi pendedahan mengenai permintaan industri TVET bersama syarikat Bermaz Auto Berhad, Pusat Usahawan MARA Negeri Melaka (Pusma) dan Persatuan Usahawan Automotif Melaka (Puam).

Sementara itu, Shabudin berkata, kerjasama berterusan bersama industri automotif tempatan, khususnya beroperasi di Negeri Melaka adalah bertujuan untuk memastikan graduan KKTM Masjid Tanah mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Mengikut perancangan kami sedia memberi laluan kepada syarikat berkenaan untuk membuka cawangan pusat servis kenderaan di dalam kolej ini.

“Selain membantu orang luar mendapatkan perkhidmatan servis kenderaan di dalam kawan kolej, perkara ini memberi pendedahan pelajar secara praktikal dalam bidang automotif kepada pelajar kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2517
Kongsi :
Previous post Laman Belia bakal berwajah baharu
Next post JPJ Melaka keluarkan 346 notis saman
Ubah saiz-+=