KKR segerakan pembaikan jalan rosak di 64 lokasi sekitar Melaka
ALOR GAJAH 22 Ogos – Kementerian Kerja Raya (KKR) komited menyegerakan kerja pembaikan di 64 lokasi di jalan Persekutuan sekitar Melaka bagi memastikan kemudahan infrastruktur itu selamat digunakan terutama sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembaikan itu juga turut membantu Kerajaan Negeri menerima kehadiran pemimpin antarabangsa pada tahun hadapan apabila Malaysia menjadi tuan rumah persidangan Pengerusi ASEAN 2025.
Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di semua lokasi itu membabitkan peruntukan sebanyak RM31.8 juta.
“Keseluruhan jumlah projek pembaikan jalan Persekutuan di Melaka, saya difahamkan 45 (lokasi) masih dalam pelaksanaan, manakala 15 lagi sudah siap, bakinya akan disiapkan mengikut progres.
“Selagi ada keperluan (membaik pulih) kita akan buat dan progres pelaksanaannya sampai hujung tahun, jadi pada tahun 2025, Malaysia menjadi tuan rumah Pengerusi ASEAN, banyak program serta mesyuarat pemimpin negara datang ke Melaka, jadi kita buat persediaan,” katanya
Beliau berkara demikian ketika melawat pembaikan di Lebuh Alor Gajah- Melaka – Jasin (AMJ) KM55, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan laluan Persekutuan di Melaka mengalami mendapan akibat daripada faktor jalan raya yang semakin berusia dan retak.
“Kita tengok sampel jalan tadi telah retak, jadi kita mengukuhkan lagi turapan jalan. Ini belum sampai lagi bulan tengkujuh semestinya air hujan berlebihan membawa kerosakan.
“Saya berharap akan ada pertambahan sedikit lagi peruntukan jadi kita akan bagi lagi utk Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.