Sorting by

×

KKR bakal laksana program rintis sandbox, inovasi selenggara jalan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ALOR GAJAH 2 November – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperkenalkan program ‘Sandbox’ Infrastruktur Jalan Pintar sebagai platform integrasi teknologi dalam melaksanakan pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur jalan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata program berkenaan sebahagian daripada aspirasi kempen MYJalan yang secara rasminya dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos lalu.

Katanya, program ‘Sandbox’ Infrastruktur Jalan Pintar itu juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan tekonologi berketepatan tinggi dan efisien.

“Program rintis ‘sandbox’ sebelum ini sudah dilancarkan menerusi Sandbox Lebuhraya Pintar hasil inisiatif Plus Malaysia Berhad (Plus), namun di peringkat KKR, saya sudah berbincang dengan kepimpinan atasan KKR termasuk Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam-Zam Ahmad.

“Kita telah bincang dan program ini adalah satu lagi kaedah (di bawah kempen MY Jalan) untuk menggabungkan semua idea, tenaga dan sebagainya untuk lebih mempertingkatkan aspirasi teknologi.

“Program rintis di bawah KKR ini masih di peringkat untuk menerima pelbagai idea daripada pemain industri seperti kontraktor, syarikat konsesi lebuhraya serta pengguna sendiri, jadi ‘everyone is a stakeholder’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil Komptensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR, di sini.

Hadir sama Hasnol Zam-Zam, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) JKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool.

Mengulas lanjut, Nanta berkata program rintis itu akan memberi manfaat kepada 33.4 juta penduduk Malaysia yang menggunakan infrastruktur jalan negara.

“Jangkaan tempoh untuk melaksanakan program itu bergantung kepada tahap keberkesanannya, jika kita boleh mula sekarang, kita akan mula, namun ia adalah proses berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

851
Kongsi :
Previous post Melaka mohon perkenan namakan Bazar Ramadan Peringgit sempena nama Raja Permaisuri Agong
Next post 60 buah sekolah seluruh negara terima bantuan kelas pintar
Ubah saiz-+=