Sorting by

×

KKMM, MOF bentang memorandum jemaah menteri untuk selesaikan isu berkaitan DNB

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

PUTRAJAYA, 18 Feb – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Kewangan (MOF) akan membentangkan memorandum Jemaah Menteri pada bulan depan untuk menyelesaikan isu berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kedudukan DNB dan sistem Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network) atau ‘Dual Wholesale Network’ yang menjadi perdebatan dan polemik itu perlu diselesaikan segera, susulan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang diadakan semalam.

“Kalau dibiarkan berlarutan ia akan menjejaskan program pelaksanaan 5G yang merupakan faktor utama kepada program Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan pelaksanaan MyDIGITAL,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Sukarelawan Operasi Bantu Hingga Selesai (Op BAHIS) di sini hari ini.

Annuar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan KKMM dan MOF untuk mengemukakan memorandum Jemaah Menteri bagi memuktamadkan konsep dan ‘way forward’ (jalan penyelesaian) dalam soal melaksanakan jalur lebar 5G.

“Ini telah disiapkan dan semalam kedua-dua kementerian (KKMM dan MOF) telah duduk bersama dan muktamadkan draf memorandum yang akan diedarkan kepada beberapa kementerian yang berkaitan untuk mendapatkan pandangan,” katanya yang menyasarkan pembentangan memorandum itu dibuat pada minggu pertama Mac.

Annuar berkata perdana menteri telah memberi arahan supaya setiap agensi dan kluster membuat pelaporan kepada MED4IRN setiap tiga bulan dan ini termasuk kluster yang dipengerusikannya iaitu Kluster Infrastruktur Digital dan Data.

“Ini bermakna negara kita meletakkan agenda digital ekonomi dan program 4IR (Revolusi Perindustrian Keempat) serta pelaksanaan MyDIGITAL pada keutamaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata beberapa kertas cadangan telah dibentangkan pada MED4IRN semalam antaranya berkaitan mewujudkan projek ikonik sebagai dorongan pelaksanaan program ekonomi digital.

Annuar dalam pada itu berkata ‘roll out’ Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada masa ini mengikut jadual malah ada juga ‘sedikit mendahului jadual’.

Menurutnya, jumlah premis bagi program ‘Point of Presence’ (PoP) yang menyasarkan sembilan juta rumah, kini sudah menghampiri tujuh juta premis dan bakal mencapai 100 peratus menjelang 2023.

Mengenai Op BAHIS cetusan KKMM berkonsepkan ‘keluarga angkat’ untuk membantu mangsa banjir, Annuar berkata kira-kira 1,500 sukarelawan KKMM telah turun padang membersihkan 172 rumah di Kampung Sungai Lui, Bukit Changgang dan Taman Sri Muda dan misi juga membantu mengangkut keluar kira-kira 6,000 tan sampah dari ketiga-tiga lokasi tersebut.

Mangsa turut menerima bantuan berjumlah RM1,000 iaitu wang tunai RM500 serta barang keperluan bernilai RM500 yang disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dan rakan strategik.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Salahuddin, Suhaizan antara 16 calon Amanah
Next post Kertas siasatan ADUN positif dadah diserah kepada Pengarah Pendakwaan Negeri
Ubah saiz-+=