KKM tubuh task force siasat kematian doktor pelatih HPP
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan ‘task force’ bebas atau pasukan petugas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dilaporkan maut terjatuh dari bangunan rumah sewanya pada 17 April lepas.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter berkata beliau telah menerima laporan awal mengenai kematian doktor pelatih itu daripada Ketua Jabatan mendiang.
“Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan. @KKMPutrajaya akan menubuhkan sebuah ‘task force’ bebas untuk siasat kes ini & juga budaya ‘buli’ yang didakwa berlaku,” menurut Khairy.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam balasan terhadap ciapan Khairy berkata pihaknya sedang menunggu hasil siasatan polis dan laporan bedah siasat termasuk keputusan kimia.
“Budaya buli adalah salah dan tidak boleh diterima di mana-mana terutama di hospital,” kata Dr Noor Hisham.
Pada 17 April lepas, doktor pelatih itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di bangunan berhampiran.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melapor diri pada 4 April lepas di HPP.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan dilaporkan hari ini berkata pihak polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata setakat ini pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada doktor dan rakan serumah doktor pelatih tersebut dan seterusnya akan mengambil keterangan daripada ahli keluarganya dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.