KKM temui dua kes pertama jangkitan COVID-19 varian Nigeria B1.525
PUTRAJAYA 5 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui dua kes pertama individu yang dijangkiti Varian Nigeria SARS-CoV-2 yang juga dikenali sebagai B1.525 di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu melibatkan dua warganegara asing yang tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan didapati positif COVID-19 melalui ujian swab ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (RT-PCR).
“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) selanjutnya melakukan penjujukan genom penuh kerana mengambil kira sejarah perjalanan mereka.
“Analisis lebih lanjut menunjukkan adanya semua mutasi yang dilaporkan berkait dengan varian tersebut. Ini termasuk mutasi ‘spike protein’ E484K, Q677H, F888L dan rangkaian ‘protein deletions’ serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7.
“Mutasi ‘spike protein’ E484K juga mendapat perhatian kerana ia dilaporkan dapat menghindari sistem imun,” menurutnya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Noor Hisham berkata, dikenali sebagai B.1.525, Varian Nigeria pertama kali dikesan di United Kingdom dan Nigeria pada Disember 2020.
“Sejak itu sebanyak 360 urutan varian ini boleh dijumpai di GISAID dengan laporan tertinggi dari Denmark (n = 121), diikuti UK (n = 73) dan Nigeria (n = 56).
“Varian Nigeria juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imun,” katanya.
Jelasnya, KKM melalui IMR dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi Nigeria B1.525 itu dan akan memaklumkan masyarakat umum dari semasa ke semasa.
“Walaupun program vaksinasi sedang dilaksanakan, tindakan kesihatan awam masih perlu diamalkan kerana imuniti kelompak masih belum tercapai.
“Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.