KKM sedia laksanakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama Februari ini – Dr Adham
PUTRAJAYA, 3 Feb. – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersedia untuk melaksanakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama, sebaik bekalan vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia pada 26 Februari ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, sesi latihan awal penghantaran vaksin tersebut ke Klinik Kesihatan Belaga di Sarawak pada 29 Januari dan Hospital Bintulu pada 30 Januari sebagai persiapan rapi, telah berjaya dilaksanakan tanpa sebarang isu.
Menurutnya, latihan awal penghantaran itu adalah untuk memastikan bekalan vaksin dari kilang syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer, di Puurs, Belgium yang menggunakan bekas ultra sejuk sampai di Malaysia tanpa sebarang masalah.
“Ini adalah latihan yang amat penting dan ia telah berjaya dilaksanakan dan data pengelog menunjukkan tiada isu atau kelemahan,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan aplikasi pendidikan dalam talian mengenai COVID-19, di sini hari ini.
Dr Adham berkata, fasiliti penyimpanan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama yang dilengkapi kemudahan seperti Penyejuk Suhu Ultra Rendah (ULTF), bagi memastikan suhu yang bersesuaian untuk penyimpanan vaksin, sebelum dikeluarkan dan diagihkan kepada tempat vaksinasi, telah dikenal pasti.
Mengenai aplikasi pendidikan COVID-19 itu, Dr Adham berkata, platform pendidikan idea ahli biokimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan penganalisis isu global, Peter Chew itu menerapkan kesedaran dan pendidikan mengenai ikhtiar hidup dengan mengelak daripada dijangkiti COVID-19.
“Pendidikan asas juga penting untuk disampaikan kepada masyarakat, khususnya mereka yang jauh dari fasiliti kesihatan supaya lebih peka tentang amalan norma baharu seperti pengasingan diri, guna pelitup muka, kerap mencuci tangan serta mengelak tempat sempit, apabila wabak berlaku di kawasan mereka,” katanya.
Sementara itu Chew berkata, pembawa senyap itu telah menyebabkan penularan meluas di seluruh negara dalam gelombang kedua COVID-19, dan oleh itu adalah penting pendidikan asas dan pencegahan awal dilakukan, untuk mengelakkan dijangkiti serta mengurangkan perbelanjaan perubatan.
Platform pendidikan tersebut boleh didapati https://youtu.be/uU89i8uO5Qs, http://youtu.be/OhDH_h3jCxs dan http://youtu.be/z1YHIWrvuwY.