‘Kita hilang dua mata untuk dibawa pulang’ – Zainal

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KETUA Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan percaya pasukannya lebih layak membawa pulang tiga mata dari Stadium UiTM Shah Alam, dengan aksi memuaskan yang ditampilkan.

Namun, jelasnya, kegagalan menyempurnakan peluang terutama di separuh masa kedua membuatkan skuad Hang Tuah terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Selangor.

“Bagi saya, dengan serangan yang ditampilkan, kita telah telah berjaya menyukarkan Selangor di laman sendiri. Namun, kita gagal memanfaatkan peluang, terutamanya peluang keemasan di minit-minit akhir perlawanan.

“Bagi saya kita terlepas tiga mata dan hilang dua mata untuk dibawa pulang. Apa pun, pemain-pemain sudah bekerja keras untuk mendapatkan satu mata berharga ini,” katanya ketika ditemu bual selepas tamat perlawanan.

Beliau berkata, secara keseluruhan anak buahnya telah menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan ini terutama membabitkan kerjasama sebagai satu pasukan dan mengawal kawasan tengah di separuh masa kedua.

Namun, beliau akur dengan keputusan berkenaan dan tetap memberikan kredit kepada pemain yang telah melakukan tugas dengan baik sepanjang 90 minit masa perlawanan.

“Kita tahu Selangor akan bermati-matian di separuh masa pertama, sebab itu kita kelihatan sedikit bergelut. Namun, apabila masuk separuh masa kedua, kita kembali dengan begitu cantik dan berjaya mengawal kawasan tengah dan mencipta banyak peluang.

“Kita telah mendominasi perlawanan dan mencipta peluang. Namun, pemain pasti tahu, setiap peluang perlulah dimanfaatkan terutama membabitkan perlawanan seperti ini,” katanya lagi.

Views:

333
Kongsi :
Previous post MU ‘curi’ satu mata
Next post 5,777 premis positif pembiakan Aedes direkodkan di Melaka
Ubah saiz-+=