‘Kita hanya selaras, sampaikan dasar’ – Mohd Nasrul
KRUBONG 17 Ogos – “Kita bukan membuat keputusan, di peringkat negeri kita menyelaras dan menyampaikan dasar terkini mengikut keputusan yang diambil di peringkat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).”
Itu penjelasan Pengarah MKN Negeri Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkenaan salah faham pembukaan 11 sektor ekonomi yang masih tidak boleh dilaksanakan di negeri ini seperti diumumkan baru-baru ini.
“Kelonggaran atau kemudahan pembukaan ekonomi untuk 11 sektor itu dibenarkan dibuka di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan satu syarat iaitu 50 peratus daripada rakyatnya perlu divaksin.
“Itu yang kadangkala terlepas pandang, jadi tugas saya (MKN) untuk menerangkan perkara berkenaan supaya orang jelas yang mana apabila kita capai tahap itu baru kita boleh buka 11 sektor itu.
“Bukan Melaka saja, ada beberapa negeri lain yang Fasa 1 juga masih belum boleh beranjak untuk melaksanakan program tersebut disebabkan vaksinasinya belum mencapai 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MHI selepas meninjau persiapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega Stadium Hang Jebat di sini, hari ini.
Jelasnya, mengikut rekod dan jangkaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Melaka boleh mencapai tahap 50 peratus itu pada hujung bulan ini atau awal September depan.
“Prosedur operasi standard (SOP) dah keluar, jadi kita hanya tunggu masa itu sahaja.
“Mana-mana negeri yang mencapai tahap (50 peratus) tersebut kita boleh beralih untuk melaksanakan program-program itu.
“Kita di peringkat program vaksinasi ini bersama-sama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan jabatan kesihatan untuk melaksanakannya,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.