Sorting by

×

‘Kita akan libatkan SPRM’ – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SERI NEGERI 11 Mac – Kerajaan negeri sedia melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes pencerobohan haram tanah rizab kerajaan di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah dan Empangan Jus, Jasin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya tiada halangan sekiranya pembabitan SPRM menjadi keperluan selain daripada siasatan dalaman di peringkat kerajaan negeri.

“Kalau perlu pergi ke peringkat SPRM, kita go to (peringat) SPRM, macamana bangunan boleh ada dalam tu (empangan).

“Kenapa struktur bangunan (boleh) dibuat, mesti ada kelulusan. Kalau kata memang ada kelulusan, kita kena periksa kenapa ianya boleh berlaku…,” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di sini hari ini.

Pada sidang media itu Sulaiman berkata, siasatan awal juga mendapati, ada struktur bangunan kekal dibina di atas tanah rizab berkenaan yang masih digunakan sebagai rumah penginapan, rumah pekerja asing, rumah pam air, chalet dan lain-lain.

“Kerajaan negeri akan mengeluarkan baki 25 peratus penceroboh tegar ini dengan menguatkuasakan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

“Sebelum ini, terdapat kira-kira 80 orang (penceroboh) yang mana 75 peratus daripadanya telah dikeluarkan daripada tanah rizab dua empangan berkenaan iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Jus di Jasin bermula 2014,” katanya.

Tambahnya, hasil semakan terkini mendapati pencerobohan di Empangan Durian Tunggal membabitkan keseluruhan kawasan seluas 489.55 ekar (198.1 hektar) dengan pecahan pertanian 104 hektar membabitkan durian, buah naga, sireh, kelapa, sayur-sayuran, pisang, dan jambu, manakala kelapa sawit (85.7 hektar), getah (6.78 hektar) serta warung dan kem seluas 1.4 hektar.

“Manakala di Empangan Jus, keseluruhannya 152 hektar tanah diceroboh membabitkan tanaman kelapa sawit seluas 97.5 hektar, pertanian merangkumi kelapa, nangka, pokok pisang, limau (54.91 hektar), warung (0.4 hektar) dan getah 0.06 hektar),” katanya.

Isnin lalu, Sulaiman mendedahkan kerajaan negeri mengesan kegiatan tanaman haram termasuk durian Musang King, buah naga, kelapa sawit, pisang dan kelapa di Empangan Durian Tunggal, di sini.

Pencerobohan itu jelas beliau, melibatkan tanah rizab empangan yang turut dijadikan tapak rumah penginapan, pekerja asing, pam air dan chalet bagi kegunaan pertanian haram itu.

Jelasnya, kerajaan negeri Melaka telah mula mengeluarkan penceroboh berkenaan mulai 2014 dan 75 peratus mereka telah mengosongkan kawasan rizab setelah diberikan notis pengosongan tapak oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah, namun ada lagi yang masih berdegil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post Vaksin COVID-19: 170,734 penerima di Melaka sudah daftar
Next post Bas percuma Panorama diperluas seluruh negeri
Ubah saiz-+=