Sorting by

×

Kit pertanian PENJANA jimat perbelanjaan dapur

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BEMBAN 27 Feb. – Pakej bantuan input pertanian di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dilancarkan sejak Jun tahun lalu terbukti mampu menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, inisiatif bagi menggalakkan penanaman jangka pendek terutama sayuran secara kecil-kecilan bagi keluarga mendapati ia mampu menjimatkan perbelanjaan dapur sebanyak RM110 sebulan.

Menurutnya, melalui insentif pertanian itu juga mampu menggalakkan minat dalam komuniti bagi menghasilkan produk pertanian yang berkualiti di rumah.

“Kit ini dilengkapi benih, baja dan peralatan pertanian untuk individu mengusahakan pertanian jangka pendek dengan menanam sayuran untuk kegunaan sendiri dan juga dijual di pasar.

“Dengan ini kita dapat mengurangkan kebergantungan bekalan pertanian dalam negara dalam pasca penularan pandemik COVID-19,” katanya sambil menambah kit itu bernilai RM500 bagi individu dan RM50,000 bagi setiap komuniti di negara ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Insentif Teknologi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Jabatan Pertanian negeri diadakan di Dewan Terbuka Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, Bemban, di sini petang tadi.

Hadir sama, ADUN Rim, Datuk Wira Ghazalee Muhamad dan Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Eliyas Saad.

Jelasnya, setakat ini 1,324 individu di negeri ini sudah menerima bantuan terbabit membabitkan 90 komuniti di tiga daerah di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

795
Kongsi :
Previous post Sasar 75 peratus SSL beras negara
Next post Pelan 10 tahun bina semula bola sepak Melaka
Ubah saiz-+=