Kipas gergasi dipasang di Banda Hilir
BANDA HILIR 8 Jun – Bagi meningkatkan keselesaan pengunjung ke Banda Hilir, sebanyak dua kipas gergasi akan dipasang di hadapan Bangunan Stadthuys dan kawasan berhampiran Air Pancut Ratu Victoria.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, pemasangan kipas besar itu dijangka akan siap sebelum Jumaat depan.
Katanya, pemasangan kipas itu merupakan cadangan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Ketua Menteri dalam lawatan tapak Zon Bebas Kenderaan mencadangkan untuk MBMB memasang dua kipas besar untuk keselesaan pengunjung di situ.
“Selain itu, beliau turut meninjau suasana dan landskap sekitar Zon Bebas Kenderaan dan meminta pihak MBMB untuk menambah baik dari segi keceriaan dan keselesaan pengunjung.
“Melaka pada waktu siang agak panas, jadi kita akan selesaikan pemasangan (kipas) sebelum hari Zon Bebas Kenderaan pada minggu hadapan, iaitu sebelum Jumaat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan ke kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir, hari ini.
Hadir sama pada lawatan itu, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong dan lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.