Kiosk MyKP perintis kemajuan sosioekonomi nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER LIMAU 29 Ogos – Kiosk My Perikanan (MyKP) disediakan Jabatan Perikanan Melaka di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, di sini menjadi perintis sebelum diperluas ke seluruh negeri ini.

Kiosk MyKP itu bukan hanya memudahkan nelayan memasarkan hasil tangkapan, malah meningkatkan sosioekonomi mereka melalui konsep perkongsian perniagaan.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Salehon berkata, jabatan itu mengeluarkan kos agak tinggi bagi menyediakan kiosk mudah alih yang berfungsi sebagai pangkin menjual hasil tangkapan nelayan.

MOHD FAUZI

“Kami memilih komuniti nelayan di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar sebagai kumpulan pertama memajukan Kiosk MyKP.

“Jika program ini berjaya, kami akan memperluas penyediaan kiosk ke seluruh negeri dengan memilih komuniti nelayan yang aktif bagi menjayakannya,” katanya selepas menyerahkan dua kiosk berkenaan kepada Ketua Jaringan Nelayan Kampung Paya Lebar, Mohamad Jantan di pangkalan itu hari ini.

Hadir sama Ketua Cawangan Pengembangan Perikanan, Nazrin Arbak dan ahli jawatankuasa jaringan nelayan berkenaan.

Mohd Fauzi berkata, komuniti nelayan di kawasan itu harus memilih dua nelayan yang bertanggungjawab mengendalikan kiosk berkenaan seperti menjaga harta sendiri.

Katanya, selain menjual hasil tangkapan sendiri, nelayan terbabit turut menyediakan ruang untuk hasil tangkapan nelayan lain berdasarkan konsep berkongsi perniagaan.

Selain ikan, nelayan turut berpeluang menjual udang galah, siput sedut, ketam dan bubuk (udang bersaiz kecil) yang digemari pengguna, katanya.

Beliau berkata, penjualan hasil tangkapan secara terus secara tidak langsung mengurangkan pembabitan orang tengah, sekali gus meningkatkan sosioekonomi nelayan.

Sementara itu, Mohamad, 74, berkata, komuniti nelayan akan memastikan nelayan yang dipilih berniaga di kedua-dua kiosk berkenaan bukan setakat menjaganya seperti harta sendiri, malah berlaku adil kepada hasil tangkapan nelayan lain.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Perikanan kerana sudi membantu meningkatkan sosioekonomi kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

878
Kongsi :
Previous post Lajim meninggal dunia akibat COVID
Next post MUFC sia-siakan peluang jamin tempat di Liga Super
Ubah saiz-+=