Kilang Yakult buka lawatan percuma untuk orang ramai

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 27 Julai – Pengeluar minuman susu kultur probiotik terkenal dari Jepun, Yakult membuka peluang kepada orang ramai untuk mengadakan lawatan ke kilangnya yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan secara percuma.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Jabatan Sains Yakult (M) Sdn. Bhd., Lim Siew Ling berkata, tawaran itu terbuka kepada mana-mana individu mahupun kumpulan untuk melihat lebih dekat cara pembuatan susu kultur probiotik itu yang amat bagus untuk kesihatan usus.

Menurutnya, pengunjung juga berpeluang mengenali kebaikan rantaian bakteria yang ditemui pengasasnya, Dr. Minoru Shirota pada tahun 1935.

“Rantaian bakteria dinamakan ‘Shirota Strain’ ini merupakan bakteria berfaedah yang dimasukkan di dalam minuman Yakult diyakini membawa manfaat dalam membantu kesihatan usus.

“Menerusi peluang ini, pengunjung akan diberikan pelbagai pendedahan berkaitan keunikan minuman kesihatan ini selain menyuntik kesedaran kepada orang ramai dalam meningkatkan pemahaman mereka terhadap penjagaan kesihatan usus.

“Kilang yang dibuka sejak 2004 di negara ini sehingga kini telah menerima 500,000 pengunjung yang diberi peluang melawat secara percuma selama satu hingga dua jam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri program ‘Usus Kita, Wira Kita?’ diadakan di Oriental Melaka Straits Medical Centre, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd., Hiroki Yanase; Pengarah Kejururawatan Oriental Melaka Straits Medical Centre, Zabedah Tahrim serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, Siew Ling berkata, pameran yang dibuka di kilang Yakult akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat termasuk pada hari Sabtu ganti (Alternate Saturday).

“Bagaimanapun setiap lawatan perlulah membuat tempahan terlebih dahulu dengan mengatur tarikh dan waktu yang sesuai menerusi laman web kami iaitu di www.yakult.com.my,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

294
Kongsi :
Previous post IKAT tubuhkan Kursi Hang Tuah, bongkar penemuan baharu
Next post Melaka bayar lebih RM177,000 kepada rakyat amal kitar semula
Ubah saiz-+=