
Kilang pasang kenderaan cetus kluster baharu
AYER KEROH 20 Sept. – Kluster Industri Pegoh menjadi kluster terbaharu direkodkan di Melaka membabitkan penularan di tempat kerja di Daerah Alor Gajah.
Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, kluster terbaharu itu tercetus selepas sebuah kilang pemasangan kenderaan di kawasan terbabit mencatatkan peningkatan jangkitan COVID-19.
Katanya, setakat ini 22 pekerja disahkan positif COVID-19, manakala sejumlah 229 diarah menjalani saringan kontak rapat.
“Punca penularan dari jangkitan sporadik dan menular ke tempat kerja dan asrama pekerja.
“Kes terbabit telah dikesan pada 10 September lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, menerusi satu foto yang tular, kilang berkenaan telah diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bermula semalam hingga 2 Oktober bagi tujuan sanitasi dan pengesanan kontak rapat.
Namun, difahamkan ia bukan melibatkan keseluruhan kilang, sebaliknya hanya melibatkan satu blok bangunan sahaja.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.