Sorting by

×

Khianat cabut bahan kempen, lelaki ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 16 Nov- Seorang lelaki bertindak mencabut bendera dan kain rentang sebuah parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini selepas tidak berpuas hati kerana menghalang pandangan lalu lintas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata,suspek berusia 48 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan pada jam 8.54 malam tadi di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat mendapati tujuan lelaki itu bertindak demikian kerana pemasangan bendera itu menghalang pemandangan pengguna jalan raya yang ingin masuk dan keluar simpang.

“Hasil soal siasat turut mendapati suspek mengakui tindakannya tiada kaitan dengan elemen politik.

“Pemeriksaan lanjut menemukan lapan batang bendera berlogo Pakatan Harapan (PH), empat bendera Perikatan Nasional (PN) dan 14 bendera Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

BENDERA yang ditanggalkan

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sejurus keterangan selesai diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Majid berkata, sehingga kini sebanyak lima laporan polis diterima pihaknya membabitkan kes sabotaj bendera dan kain rentang parti politik.

“Laporan itu membabitkan masing-masing dua di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, serta satu di Jasin.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan semua parti politik yang bertanding pada PRN Melaka supaya memasang atau memacak bendera di tempat yang tidak menghalang pemandangan pengguna jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

936
Kongsi :
Previous post Kononnya Abah Sayang Melaka, tapi…
Next post Keputusan kes ADUN Tronoh didakwa rogol pembantu rumah 7 Dis
Ubah saiz-+=