Khazanah berharga ‘Pulau Bunian’

Masa Membaca:3 Minit, 59 Saat

NAMANYA kerap dikaitkan sebagai penempatan makhluk halus seperti bunian dan pelbagai lagi kisah dongengan, namun Pulau Konet di Kuala Sungai Baru, di sini, sebenarnya memiliki keindahan semula jadi dan hidupan marin yang masih segar, sekali gus dianggap sebagai antara permata negeri ini di Selat Melaka.

Ketika air surut pengujung hanya perlu berjalan sejauh 100 meter mengambil masa kurang satu minit untuk menjejakkan kaki ke pulau berkenaan.

Itu antara kelebihan dan tarikan utama Pulau Konet yang sebenarnya menjadi tumpuan segelintir pelancong biarpun kedudukannya agak terpencil berbanding lokasi peranginan berhampiran.

Disebalik keindahan pulau kecil yang mempunyai dua gugusan pulau di Kampung Baru, Kuala Sungai Baru itu, ia menyimpan 1,001 kisah masih bermain di mulut ‘orang lama’ yang diwarisi daripada generasi ke generasi.

PINJAM BARANG BUNIAN

Pulau Konet adalah sebuah pulau kecil bersebelahan Pulau Tanjung Keramat, kedua-keduanya boleh diakses dengan berjalan apabila ketika air laut surut.

Menyingkap kisah yang kini dianggap misteri bagi penduduk sekitar, Pulau Konet dikatakan sebagai sebuah perkampungan bunian di mana suatu ketika dahulu penduduk boleh berinteraksi dengan makhluk itu menerusi upacara pemujaan bagi mendapatkan hajat dan pertolongan.

Menceritakan kisah itu, Abu Samah Baba, 65, berkata, ketika zaman dahulu Pulau Konet sering dikaitkan dengan kisah masyarakat kampung mempunyai perjanjian bagi meminjamkan pinggan mangkuk daripada makhluk berkenaan setiap kali kenduri mahupun upacara perkahwinan diadakan.

ABU Samah menunjukkan suasana di Pulau Konet yang dikatakan dihuni perkampungan bunian.

Dia yang merupakan penduduk asal di kawasan itu hanya menceritakan apa yang disampaikan arwah neneknya dahulu dan menyatakan dalam upacara peminjaman itu mempunyai syarat yang ditetapkan agar ia tidak terbatal.

“Dahulu ada upacara mereka puja di pulau itu untuk meminjam pinggan mangkuk setiap kali kenduri kahwin hendak dilaksanakan.

“Entah macam mana esok itu ada bungkusan kain wujud di kawasan itu di mana di dalamnya terdapat pinggan mangkuk dan dengan syarat mesti dipulangkan, biarpun ia pecah barang itu mesti dipulangkan dengan serpihannya selepas majlis mereka selesai.

“Tapi itu kisah dahulu, ada yang kata kini sudah tiada lagi kerana ‘mereka’ di pulau itu merajuk sebab ada penduduk yang tidak pulangkan barang yang pecah itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Kongsi Abu Samah lagi, keadaan masyarakat dahulu tidak sama seperti zaman moden hari ini yang kembali berpegang teguh kepada akidah dan tidak mempercayai perkara itu.

“Apa yang saya tahu memang ada kisah mengenai itu tapi saya tidak berapa percaya sangat. Kalau dulu lain, mereka kalau percaya, penuh. Tapi sekarang kita mana mahu percaya,” katanya.

HAKISAN PISAH DUA SEMPADAN

Abu Samah menambah, dikatakan dahulu jarak antara pulau itu dan daratan hanyalah beberapa kaki sahaja namun saban tahun kedudukannya semakin jauh ke tengah laut berikutan fenomena alam yang berlaku akibat hakisan pantai.

Ujarnya, Pulau Konet dan Pulau Tanjung Keramat itu dahulu dikatakan bergabung membentuk satu jajaran pulau malah dipenuhi dengan pokok kelapa mengindahkan lagi suasana sekitar.

“Di Pulau Tanjung Keramat itu pun agak ‘keras’ sebab dahulu banyak aktiviti pemujaan berlaku.

“Orang tua pernah bercerita penduduk dahulu ada buat upacara melepaskan hajat, mereka beramai-ramai membawa kereta lembu dengan berisi padi berarak mengelilingi pulau itu sebagai simbolik bagi memastikan sawah padi mereka selamat dan subur.

“Itu cerita dahulu namun sekarang sudah tiada aktiviti khurafat itu, malah penduduk di sini akan sentiasa peka dengan keadaan itu, jika masih berlaku mereka akan pantau dan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

PEMANDANGAN Pulau Konet dari pesisir pantai ketika air surut.

AWAS AMUKAN PULAU

Di sebalik keindahan Pulau Konet yang boleh dijejaki tatkala air surut yang menyaksikan daratan berpasir selebar tiga meter boleh dilalui pengunjung, namun awas laluan berkenaan akan kembali ditelan laut apabila pasang.

Abu Samah berkata, kejadian pengunjung terperangkap di atas pulau boleh berlaku terutamanya bagi mereka yang leka dan tidak tahu mengenai jadual pasang surut.

“Ketika berlaku fenomena air pasang besar paras air boleh mencapai separas dada dan ketika itu pengunjung dinasihatkan agar lebih berhati-hati.

“Memang tidak ramai yang datang bersantai di sini, tetapi Pulau Konet ada peminatnya yang tersendiri, tidak kurang yang datang untuk mencari rezeki dengan mengumpul hasil laut,” katanya.

PEMANDANGAN Pulau Konet dari udara.

LUBUK KAKI PANCING

Sementara itu Mohamad Syafiq Abu Kassim, 33, berkata, lokasi sekitar Pulau Konet adalah lubuk buat kaki pancing kerana menjanjikan habuan lumayan dan memberi kepuasan bagi peminat dunia hanyir.

Berkongsi pengalamannya Mohamad Syafiq berkata, jika bernasib baik pemancing boleh mendaratkan spesis ikan yang berkualiti seperti kerapu, jenahak dan lain-lain lagi.

“Tangkapan di perairan ini memang luar biasa sebab itu saya gemar memancing di sini, selain itu kawasan ini memberikan ketenangan, mungkin kerana keindahan alam yang ada di sekitarnya.

“Jika ada hasrat untuk majukan Pulau Konet sebagai lokasi pelancongan saya memang sokong perancangan itu kerana boleh beri manfaat kepada penduduk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4745
Kongsi :
Previous post Isu kenaikan kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Next post Pencuci kapal didakwa bunuh isteri, bayi
Ubah saiz-+=