Khabar ‘gembira’ buat hampir 6,000 petugas media
Katanya keputusan dibuat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengutamakan petugas barisan hadapan termasuk guru dan pengamal media.
“Janji temu akan diberikan secepat mungkin selepas CITF menerima butiran mereka,” katanya pada sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, semalam.
Menurutnya, CITF telah bekerjasama dengan Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta persatuan wartawan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi tujuan pengumpulan nama petugas media yang aktif menjalankan kerja di lapangan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Mei 2019 hingga 30 April 2021.
Khairy pada sidang media sama sebelum ini memaklumkan bahawa petugas media akan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada bulan ini memandangkan golongan tersebut berisiko mendapat jangkitan COVID-19 ketika bertugas di lapangan.
Dalam perkembangan lain, Khairy memberi jaminan bahawa vaksin Sinovac yang dibotolkan Pharmaniaga Life Science Sdn Bhd adalah berkualiti, sekali gus menyangkal dakwaan kononnya berkualiti rendah berbanding keluaran asal Sinovac Lifesciences Co Ltd dari China.
Memperincikan proses fill and finish anak syarikat Pharmaniaga Bhd itu, beliau berkata ia mematuhi setiap garis panduan validasi serta kawalan kualiti oleh Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Proses ketat perlu dipatuhi selain pemeriksaan oleh NPRA bagi memastikan tahap keselamatan vaksin COVID-19 sebelum dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin. Ini bermakna kualiti vaksin fill and finish ini mempunyai kualiti sama dengan vaksin dari fasiliti Sinovac di Beijing, China,” katanya.
Kerajaan dilaporkan akan mempunyai bekalan 8.2 juta dos vaksin Sinovac menjelang akhir Jun dengan 3.8 juta daripadanya melalui proses secara fill and finish oleh Pharmaniaga Life Science.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.