Sorting by

×

KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN RAKYAT TERAS KETEGUHAN KERAJAAN PERPADUAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 November – Kepercayaan dan keyakinan rakyat menjadi teras utama Kerajaan Perpaduan bertahan di Melaka selama dua tahun.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata konsensus yang berlaku di Melaka membentuk Kerajaan Perpaduan merupakan perkembangan sihat dan positif.

Justeru, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata untuk memperkukuhkan kedudukan parti beliau meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus penambahan ahli di Melaka untuk tempoh tiga tahun.

“Konsesus di Melaka menunjukkan perkembangan yang sihat dan positif, di mana ahli DAP yang aktif cuma 5,000 dengan 104 cawangan.

“Meskipun jumlah tidak ramai, namun dengan usaha daripada ahli yang aktif ini, DAP Melaka mampu bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Saya meletakkan penanda aras kepada Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong untuk menambah 150 cawangan dengan peningkatan 2,500 ahli untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Melaka kali ke-21 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta kenamaan lain.

Dalam perkembangan lain, Loke turut memaklumkan DAP Melaka mengekalkan pelaksanaan pemilihan pucuk pimpinan parti itu tanpa pertandingan buat kali kedua berturut-turut sejak 2021.

Katanya, ia hasil konsensus dalam kalangan ahli parti itu yang bersetuju untuk mencalonkan 15 nama bagi menganggotai senarai ahli jawatankuasa peringkat negeri tanpa sebarang pertandingan.

Loke berkata, ahli jawatankuasa baharu itu bermesyuarat hari ini untuk menentukan Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta jawatan-jawatan lain.

“Empat muka baharu turut dilantik menganggotai jawatankuasa baharu itu iaitu Lim Han Siang, Teng Wen Jie, Teow Lee Yen dan Wang Yi Long.

“Seramai 11 ahli jawatankuasa sedia ada adalah S Chandru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kerk Chee Yee, ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Koh Bee Ting.

“Selain itu, Adun Banda Hilir Leng Chau Yen, Adun Kota Laksamana Low Chee Leong, Lui Poh Siong, Mohd Najib Rebu (rpt: Mohd Najib Rebu), Poh Chiou Shya, bekas Adun Gadek G Saminathan dan Adun Kesidang merangkap Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Choo Chin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post KOLAM TAKUNGAN AIR DI BUKIT RAMBAI BAKAL DIBINA, ATASI BANJIR 25 TAHUN
Next post PERMOHONAN ANJUR BAZAR RAMADAN DITUTUP 15 DISEMBER DEPAN
Ubah saiz-+=