Sorting by

×

Kewangan Islam kini mampu berperanan sebagai peneraju – Sultan Nazrin

Masa Membaca:3 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 23 Sept – Keupayaan industri kewangan Islam memberi tindak balas terhadap pandemik COVID-19 hanya membuktikan kemampuannya untuk berperanan sebagai peneraju di barisan hadapan berbanding sekadar menjadi pengikut konsensus, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda yang juga Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia bertitah, potensi besar kewangan Islam sebagai peneraju dalam pemulihan ekonomi global yang saksama juga jelas dipaparkan oleh langkah dilaksanakan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) ketika tempoh pandemik tersebut.

“Berbanding kesemua Bank-Bank Pembangunan Pelbagai Hala (MDB), IDB sebaliknya berkemungkinan mencatat impak positif paling bermakna ketika pandemik menerusi beberapa inisiatifnya. Selepas Bank Dunia, IDB juga mempunyai modal langganan kedua terbesar oleh mana-mana MDB iaitu pada US$70 bilion (US$1=RM4.19).

“Justeru, apa yang kita perlu pertimbangkan secara serius (sekarang) adalah bagaimana untuk menerapkan nilai-nilai Maqasid ke dalam segenap teras pengendalian perkhidmatan kewangan Islam,” titah baginda dalam ucap tama sesi meja bulat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) ke-12 secara maya di sini, pada Khamis.

Sultan Nazrin juga yakin falsafah Maqasid tersebut masih belum diterimaguna sepenuhnya dalam semua operasi sektor tersebut bagi mengurangkan jurang lampau antara ‘God and mammon’ (Tuhan dan memburu kekayaan).

“Kita kini perlu menjadi lebih proaktif lagi dengan membangunkan ‘Matlamat Sosial’ yang seragam untuk sektor itu, tidak hanya berteraskan amalan terbaik global tetapi juga berdasarkan Maqasid.

“Ini membolehkan kita untuk menyampaikan impak sosial sebenar yang sememangnya amat diperlukan,” titah baginda.

Baginda bertitah, cabaran mendesak yang dihadapi oleh manusia juga tidak harus diketepikan dan sistem pengantaraan ekonomi dan kewangan Islam berdasarkan prinsip ‘Maqasid al-Syariah’ ternyata menjadi lebih relevan pada masa ini berbanding sebelum ini.

“Adalah menjadi harapan saya agar industri ini dapat menyahut cabaran penting ini dan bertindak merangka agenda kukuh serta praktikal bagi perubahan transformatif berteraskan Maqasid,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, pada masa ini, era semasa lebih bercirikan populis serta keadaan polarisasi atau kekalutan politik yang kian ketara dengan peningkatan ketidaksamaan, diskriminasi serta keganasan berdasarkan kaum dan jantina selain ketegangan antara generasi mengenai perubahan iklim.

“Wujud banyak pencetus yang berpotensi menjadi konflik dan semua ini telah diburukkan lagi oleh pandemik tersebut. Apa yang dipaparkan ini adalah kekusutan asas kontrak sosial sedia ada yang berkemungkinan tidak lagi sesuai dengan matlamatnya.

“Terdapat tanggapan yang kian ketara bahawa sistem kita terpencong jauh daripada kepentingan majoriti. Begitu ramai warga beranggapan mereka hanya dapat bertahan hidup dalam keadaan tidak mempunyai pendapatan atau keperluan yang cukup dalam iklim baharu yang sukar atau lebih teruk lagi mereka dipinggirkan. Permusuhan dan perpecahan yang sedia wujud menjadi semakin mendalam,” titah baginda.

Baginda bertitah betapa beruntungnya apabila dalam sektor kewangan Islam, falsafah Maqasid telah menyediakan pencontoh ideal untuk menangani dinamik yang bermasalah ini.

“Ia meletakkan asas untuk kita menempa agenda bagi perubahan bersifat transformasi yang bertujuan mengekang perpecahan dan merapatkan jurang. Justeru, kini bergantung kepada kita untuk mempertimbangkan, merundingkan dan memformalkan agenda bersama ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah agenda tersebut perlu menggabungkan kedaulatan undang-undang; nilai bersama; risiko dan ganjaran serta peluang yang adil, dalam memanfaatkan sumber dan bakat setiap insan dalam usaha mencapai kebaikan yang lebih besar.

“Agenda ini perlu memperkenalkan ‘Matlamat Maqasid Sosial’ sebagai norma yang seharusnya diperjuangkan oleh semua institusi kewangan kita.

“Matlamat ini, yang dibangunkan menerusi konsultasi dengan pihak pengawal selia dan badan-badan industri, perlu dimasukkan ke dalam perlembagaan semua syarikat dan institusi yang terlibat dalam ruang kewangan Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah, Matlamat Sosial wajar merangkumi, antaranya, menerima guna pendekatan pelaburan berimpak, memastikan semua transaksi dan produk menyumbang kepada agenda sosial yang lebih besar di samping memperkukuh mekanisme untuk tadbir urus dan pandangan yang baik, dalam usaha meminimumkan penyelewengan dan kronisme yang merosakkan.

Matlamat tersebut juga seharusnya menangani ketaksamaan, dengan menambah baik akses untuk kumpulan minoriti dan wanita mendapatkan pendidikan, pekerjaan serta semua jenis perkhidmatan, selain memastikan upah dan persekitaran pekerjaan adalah baik, titah baginda.

Baginda bertitah ia juga perlu memanfaatkan teknologi kewangan dan pendigitalan supaya semua operasi dapat dilaksanakan dengan secekap mungkin, sekali gus memaksimumkan impak sosial positif dan menggalakkan jalinan baharu antara kewangan dan kedermawanan, contohnya melalui perkongsian awam-swasta (PPP).

“PPP merupakan bidang penting di mana matlamat kewangan dan kedermawanan mungkin saling menepati demi kebaikan lebih besar. Mereka mempunyai peranan khusus dalam mendanai pelaburan infrastruktur.

“Pembangunan infrastruktur yang hampir terhenti semasa tempoh pandemik, kini memiliki potensi untuk berperanan sebagai pemacu penting pemulihan ekonomi pasca-pandemik. Ada pihak menganggarkan projek infrastruktur global semasa yang akan dilancarkan bernilai US$12 trilion, dengan rel dan tenaga boleh baharu menjadi sektor peneraju,” titah baginda.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

868
Kongsi :
Previous post Abang Beca tak sabar terima kunjungan pelancong
Next post LTAM jadi hab parkir ambulans udara
Ubah saiz-+=