Keuzuran bapa pembakar semangat Mohamad Haiqal Danial
AYER KEROH 5 Disember – Keadaan bapa yang uzur akibat diserang angin ahmar menjadi motivasi paling besar buat Mohamad Haiqal Danial Hamdan, 25, untuk menamatkan pengajian dan cemerlang adalam akademik.
Lebih membanggakan dia turut dipilih sebagai Penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Melaka (UNIMEL) Ke-25, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Syariah, ini berkata, kerana risaukan keadaan kesihatan bapa dia hampir membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian.
Katanya, dugaan ditempuhi amat berat kerana dia ketika itu yang berada di pada tahun akhir pengajian bukan sahaja perlu menyiapkan pelbagai tugasan diberikan pensyarah sebaliknya menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas bapanya tidak lagi mampu bekerja.
“Selepas ayah saya tidak dapat bekerja saya yang ganti tugas menampung keluarga. Sekarang ini saya berkhidmat sebagai guru sementara di sebuah sekolah swasta.
“Impian saya untuk bergelar seorang peguam mungkin terbantut, namun saya akan terus berusaha untuk mencapai cita-cita itu. Saya harap peluang cerah akan terbuka dikemudian hari, bagi saya usaha tidak akan mengkhianati hasil,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-25.
Dia berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan berkata sokongan ibu, rakan sekuliah dan pensyarah juga banyak membantunya untuk berjaya dan terpilih sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda dianggap sebagai bonus buat dirinya.
Anak kedua dari tiga adik-beradik ini berharap segulung ijazah yang diterima dan usaha berterusan dapat membantunya mengubah nasib keluarga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.