Keunikan replika naga di Tokong Cheng Wah Keong curi tumpuan ramai
TELOK MAS 13 Februari – Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, 12 haiwan menaungi kalendar lunar membawa pengertian dan tuah tersendiri.
Naga adalah makhluk mitos paling ditunggu berbanding zodiak lain kerana kerana ia menggambarkan keunggulan, memiliki kuasa luar biasa dan membawa limpahan rezeki.
Berikutan itu Tahun Baru Cina kali ini disambut dengan penuh meriah dan di seluruh negara pasti ada patung naga yang dihias cantik.
Pengerusi Tokong Cheng Wah Keong, Hau Han Lee, berkata, saban tahun pihaknya tidak ketinggalan menghias rumah ibadat itu bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina, tetapi kali ini sedikit kelainan dibuat bagi meraikan zodiak naga yang begitu istimewa.
Katanya, sekitar tokong itu dihias dengan pokok sakura, kira-kira 1,000 tanglung dan tiga replika naga bagi menyambut tetamu yang datang.
“Jika dilihat secara luaran replika naga ini seakan sama seperti di tempat lain, namun sebenarnya naga di sini dibuat ‘luar biasa’ kerana menggunakan lampu neon LED, paling menarik kepalanya boleh bergerak, mulut pula boleh mengeluarkan air.
“Satu daripada tiga replika itu panjangnya adalah 368 kaki (112 meter). Meskipun kos agak tinggi tetapi kami berpuas hati kerana dapat menarik perhatian tetamu selain melambangkan kekuatan zodiak naga,” katanya ketika ditemui di Tokong Cheng Wah Keong, Kandang.
Han Lee berkata, pada tahun ini pihaknya juga menampilkan kelainan apabila merangka program yang dapat membabitkan penyertaan semua kaum.
“Sebelum ini persepsi masyarakat berfikiran tokong hanya untuk orang Cina datang sembahyang, tetapi kali ini kita atur persembahan tarian naga dan tarian singa selain menghias tokong ini.
“Paling utama, kita turut menjemput peniaga makanan halal untuk berniaga. Sebagai masyarakat yang hidup dalam komuniti berbilang bangsa dan penuh harmoni jadi kita fikir untuk tampil membabitkan semua orang.
“Kerana di Malaysia setiap perayaan kita raikan bersama-sama dan itu membuatkankan ia menjadi meriah,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Hal Ehwal Am Jawatankuasa Penganjur Lex Yuen berkata, cahaya lampu hiasan mewujudkan suasana yang amat menarik pada waktu malam, sekali gus menjadikan tokong berusia hampir 300 itu sebagai destinasi tarikan buat pelancong dan pengunjung singgah ke negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Mereka yang datang ke sini sekarang ini bukan sahaja masyarakat Cina tetapi juga pengunjung dari luar termasuk luar negara. Menariknya ramai pelancong yang singgah di sini dahulu sebelum ke Jonker Walk.
“Apa yang membuatkan kami teruja adalah dalam tempoh empat hari ini kira-kira 5,000 pengunjung sudah datang ke sini itu secara rawak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.