Sorting by

×

Keunikan Melaka jadi pilihan pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 11 November – Tinggalan sejarah dan keunikan warisan yang terdapat di Melaka menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang serta menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan untuk bercuti.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan, berkata, meskipun terdapat isu pengurangan jumlah pelancong di beberapa destinasi pelancongan di negara ini, namun pihaknya percaya Melaka mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk menawarkan pelancongan mampu milik.

Justeru, menjelang ketibaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) beliau mengingatkan peniaga untuk tidak cuba mengambil kesempatan ke atas kedatangan pelancong ke Melaka dengan menaikkan harga barangan.

“Walaupun tahun hadapan ada beberapa negeri juga tersenarai sebagai Tahun Melawat Negeri seperti Perlis dan Perak, kita yakin kepelbagaian tinggalan sejarah termasuk produk pelancongan yang ada akan menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan untuk dikunjungi.

“Melaka kita ada keunikan tersendiri malah mempunyai tinggalan sejarah awal dan ini akan menjadi ‘signature’ termasuk juga dengan kepelbagaian produk pelancongan yang kita ada.

“Malah penganjuran Kayuhan Menara Taming Sari Fun Ride 2203 yang diadakan juga adalah sebahagian daripada proses untuk kita memulakan langkah 50 hari terakhir sebelum TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan Kayuhan Menara Taming Sari Fun Ride 2023, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, Azlan Abidin.

Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, selain komitmen daripada kerajaan dan pemain industri pelancongan untuk merealisasikan kedatangan 18.7 juta pelancong sempena TMM2024, rakyat juga diminta untuk bersama-sama memainkan peranan.

“Saya berharap semua pihak boleh memberikan kerjasama supaya kita dapat memastikan TMM2024 berjalan dengan baik pada tahun hadapan dan pencapaian itu diteruskan ke tahun berikutnya iaitu Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025) yang mana Melaka menjadi tuan rumah.

“Malah dengan pencapaian itu juga akan menjadikan Melaka sebagai negeri pertama untuk dikunjungi bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia pada 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2200
Kongsi :
Previous post MyLAH tingkat kecemerlangan akademik murid dan pelajar B40
Next post International Fun Walk erat hubungan pelajar Melaka, antarabangsa
Ubah saiz-+=