Keunikan berbuka puasa di lapangan terbang cetus fenomena baru

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BATU BERENDAM 23 April. – Lebih setahun tidak beroperasi akibat pandemik COVID-19 kini Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) mengatur langkah menggamit semula pengunjung bagi ‘menghidupkan’ kembali pintu masuk negeri ini dengan menawarkan pakej juadah berbuka puasa.

Idea kreatif antara pengurusan LTAM dan Bintang Katering itu nyata memberi pengalaman baharu kepada pengunjung untuk menikmati juadah berbuka bersama ahli keluarga dalam suasana kemeriahan di lapangan terbang.

Pemilik Bintang Katering, Mohd Eszahar Mansor berkata, inisiatif itu sekali gus mencipta rekod selepas 20 tahun LTAM dibangunkan dengan menawarkan pakej berbuka puasa yang mampu mengembalikan kembali kesibukan lapangan terbang itu yang sebelum ini dikunjungi pelancong.

MOHD Eszahar (empat dari kanan) bersama Mohamad Nazri (dua dari kanan) beramah mesra bersama tetamu yang hadir majlis berbuka puasa Buffet Perdana Bintang Katering di LTAM. Foto: MR. Azli

“Dengan pakej berbuka puasa ini ia mampu menjana pendapatan LTAM yang terjejas disebabkan operasi penerbangan yang ditangguhkan di negeri ini.

“Malah, dipercayai penganjuran pakej berbuka puasa di lapangan terbang ini kali pertama di negara ini dan mempunyai tarikannya tersendiri dalam sektor pelancongan domestik.

“Perkara ini juga seiring bagi membantu syarikat kami menjana pendapatan yang terkesan sebanyak 50 peratus sejak negara dilanda COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya biarpun masih baharu, bufet Ramadan pada harga RM39.90 seorang dengan lebih 100 juadah termasuk pencuci mulut mendapat sambutan menggalakan terutama pada Sabtu dan Ahad hingga mencecah 500 orang.

Menurutnya, apa yang lebih penting usaha itu membantu syarikat menyelamatkan kira-kira 70 pekerja yang terkesan pandemik itu dan pihaknya akan terus berfikiran positif agar perusahaan katering tidak mengalami kerugian.

“Kita juga bercadang menganjurkan pakej perkahwinan di LTAM selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus LTAM Mohamad Nazri Mat Khalib berkata, pihaknya mengalukan-alukan program yang boleh memberi pulangan dengan aktiviti penerbangan dijangka beroperasi semula pada Jun depan.

Ujarnya, pelbagai perancangan lain turut akan dilaksanakan bagi membangunkan LTAM selepas 13 bulan tiada kemasukan jualan daripada perkhidmatan ditawarkan.

“Apabila ada penganjuran seperti ini kita yakin LTAM mampu dihidupkan semula dengan kedatangan orang ramai, malah pelbagai cadangan lain akan dimajukan di lapangan terbang ini pada tahun ini bagi menjana semula pendapatan.

“Perhidmatan penerbangan kecil oleh syarikat SKS Airlines dari Melaka ke Ipoh juga antara cadangan akan dilaksanakan LTAM bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1776
Kongsi :
Previous post VALUES2021 terap nilai sivik belia
Next post Polis tahan penganggur, rampas mercun dan bunga api bernilai RM50,000
Ubah saiz-+=