Sorting by

×

Ketukan misteri hantui penduduk di empat kampung

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TANJUNG KLING 31 Jan – “Berderau darah saya, jantung pula berdegup kencang bila dengar pintu diketuk dan bergegar. Apa tidaknya tengah malam pintu diketuk,” kata penduduk Kampung Tanjung Kling, Azizah Baba, 65.

Kediaman warga emas itu antara yang diganggu ‘ketukan’ misteri sejak seminggu lalu hingga membingungkan penduduk.

Warga emas itu berkata, kejadian misteri berkenaan adalah pertama kali dialami sepanjang dia membesar di kampung berkenaan.

Katanya, kejadian menghantui dirinya itu berlaku pada jam 12.30 malam Rabu lalu ketika dia dan suami sedang tidur di dalam bilik.

“Bunyi ketukan itu datang dari arah pintu belakang rumah yang berhampiran bilik tidur kami. Memang kuat bunyinya kalau kata manusia taklah sekuat itu sebab pintu diperbuat daripada kayu keras.

“Beberapa kali juga bunyi ketukan itu, berselang kira-kira 30 saat. Kerana curiga suami menjengah keluar menerusi tingkap namun tak nampak sesiapa di situ,” katanya ketika ditemui hari ini.

Azizah berkata, beberapa rumah saudara-maranya yang terletak berhampiran turut diganggu ketukan misteri itu.

Seorang lagi penduduk Zaleha Jalil, 67, berkata, susulan kejadian misteri itu jirannya yang juga ibu tunggal tinggal bersendirian kini menumpang tidur dirumahnya.

“Kejadian itu benar-benar beri kesan pada jiran, sudah empat malam dia tumpang tidur di rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Sidang Kampung Tanjung Kling Aziz Japar berkata, setakat malam tadi penduduk di 20 kediaman dilaporan diganggu ketukan misteri itu.

Aziz berkata, antara kediaman terbabit adalah di Balik Bukit, Tanjung Kling, Lereh dan Simpang Tanjung.

“Kejadian dikatakan berlaku selepas waktu maghrib, jam 10 malam hingga 3 pagi. Setakat ini kami cuma terima aduan mengenai gangguan saja belum membabitkan perkara lain.

“Pemuda kampung kini membuat rondaan, mereka akan bergerak sejurus menerima maklumat berlaku kejadian misteri itu,” katanya.

Menurutnya, gangguan seperti itu sudah lama berlaku dan difahamkan ia bermula di sekitar Alor Gajah sebelum kediaman di empat kampung berkenaan menjadi sasaran.

“Ada seorang penduduk rumahnya diketuk pada waktu Maghrib tetapi apabila dia membuka pintu rumah, tiada apà-apa kelibat mahupun orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1325
Kongsi :
Previous post Polis siasat video tular di taman tema air
Next post JPJ tempatkan anggota di kawasan percutian pantau pelanggaran peraturan jalan raya
Ubah saiz-+=