Ketua Pemuda UMNO Tampin meninggal dunia
SEREMBAN 9 Nov – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tampin Muhammad Hafez Hezmi, 38, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di kediamannya di Krubong, Melaka kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.
Perkara itu disahkan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
“Saya dapat maklumat Muhammad Hafez telah pergi awal pagi tadi, satu berita yang mengejutkan kerana kali terakhir saya jumpa dia semalam sewaktu penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri Melaka, arwah nampak sihat.
“Malam tadi pun saya dimaklumkan arwah sempat mengadakan perbincangan bersama jentera UMNO Bahagian Tampin, ia satu kehilangan besar kepada parti,” katanya.
Mohd Zaidy berkata Allahyarham merupakan seorang yang sangat berjasa dalam UMNO dan sentiasa aktif berkhidmat memberi bantuan kepada rakyat khususnya di Bahagian Tampin.
Muhammad Hafez sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan dalam politik dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Pengerusi Belia 4B Pekan Gemas sejak 2004.
Allayarham meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bukit Masjid, Gemas sebelum zuhur.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menerusi catatan dalam Facebooknya turut melahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.