Ketua Menteri sertai Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia
MASJID TANAH 21 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menghadiri Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan secara persidangan video di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Lendu di sini hari ini.
Majlis pelancaran yang diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Kuala Lumpur dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut hadir di majlis berkenaan, Menteri Tenaga, Air dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri di seluruh negara secara persidangan video.
Dr Shamsul Anuar berkata, Dasar Perhutanan Malaysia akan menjadi rujukan dan panduan kepada dasar-dasar perhutanan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, penggubalan dasar tersebut dipersetujui semua kerajaan negeri pada 29 Januari lalu menerusi mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-78.
“Ia merupakan manifestasi komitmen negara dalam melaksana pengurusan hutan secara berkekalan dalam negara dan juga prinsip dipegang di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.