Sorting by

×

KETUA MENTERI SAMPAIKAN SUMBANGAN AIDILFITRI KEPADA  260 PENGUSAHA BECA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 24 Mac – Sejumlah RM65,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi sumbangan Aidilfitri khusus kepada 260 pengusaha beca berlesen di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan yang dihulurkan adalah tanda keprihatinan berterusan terhadap aspek kebajikan pengusaha-pengusaha beca yang banyak menyumbang kepada industri pelancongan negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengusaha beca yang bersama-sama menyumbang tenaga dan khidmat bakti dalam aspek pembangunan serta perkembangan ekonomi.

“Kerajaan Negeri berbesar hati menghulurkan sumbangan Aidilfitri kepada seramai 260 pengusaha beca dengan keseluruhan berjumlah RM65,000 beserta kit makanan.

“Sumbangan diberikan, diharap sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman kepada pengusaha beca dalam menjalani ibadah puasa dan memberi sinar keceriaan dalam menyambut Syawal bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada Pengusaha-Pengusaha Beca Melaka Tahun 2025, turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, di Muzium Rakyat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad; Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Ab Rauf berkata, pengusaha beca merupakan antara penyumbang utama dalam industri pelancongan negeri apabila Melaka secara purata merekodkan kehadiran pelancong seramai 1.189 juta orang setahun bersamaan 91,520 orang setiap bulan.

“Tahun ini, bersempena penganjuran acara berprestij seperti Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025), Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) pada September, kemudian disusuli pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) Melaka akan menjadi tumpuan dunia.

“Dengan sasaran lebih daripada 16 juta pelancong akan berkunjung ke Melaka diharap pengusaha-pengusaha beca dapat memanfaatkan peluang ini untuk memperkasakan perkhidmatan beca sebagai penanda aras yang akan memperkenalkan keistimewaan serta keunikan beca Melaka, seli gus mengukuhkan imej negeri kepada dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post IBU MAUT KEMALANGAN SELEPAS HANTAR ANAK KE SEKOLAH
Next post OP PANTAU 2025 : KPDN MELAKA PERIKSA 1,335 PREMIS