
KETUA MENTERI MOREH BERSAMA LEBIH 50 PENGAMAL MEDIA, PEMPENGARUH MELAKA
SERI BENDAHARA 23 Mac – Lebih 50 pengamal media Melaka terdiri daripada pelbagai agensi dan pempengaruh diraikan pada Majlis Moreh Bersama Ketua Ketua Menteri di Seri Bendahara, malam tadi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, majlis yang diadakan secara santai itu bagi menyantuni golongan media arus perdana dan pempengaruh yang banyak berjasa dalam menyebar luas inisiatif dan mempromosi pelancongan di negeri ini.
Ujar beliau, sesi moreh itu juga bertujuan untuk mendekati pemain industri media Melaka yang banyak membantu menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri kepada masyarakat menerusi pelbagai medium.
“Di samping menyantuni kalian (pengamal media dan pempengaruh), saya juga nak ucap terima kasih kerana sokongan terhadap Kerajaan Negeri yang diberikan tidak berbelah bahagi.
“Kita harap jalinan antara media termasuklah pempengaruh ini dapat terus terjalin dalam usaha menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri terus kepada masyarakat khususnya rakyat Melaka,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Datuk Fairul Nizam Roslan dan timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Ab Rauf turut menyampaikan sumbangan kepada pengamal media Melaka dan pempengaruh yang hadir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.