
KETUA MENTERI JEMPUT RAKYAT MELAKA MERIAHKAN SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI
Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat
TANJUNG BIDARA 26 Mac – Orang ramai khususnya rakyat Negeri Melaka dijemput dan alu-alukan untuk bersama-sama hadir, seterusnya memeriahkan Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Nasional di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 5 April (Sabtu).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan itu bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin tertinggi negara.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, kehadiran pemimpin tertinggi negara mencerminkan kepentingan sambutan itu dalam memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, saya mengajak semua, termasuk nelayan untuk turut serta bersama seisi keluarga dan kenalan bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini. Mana Lagi? Melaka Lerrr…Bersama-sama kita memanjatkan doa pada bulan penuh kemuliaan ini agar kemakmuran dan kelestarian bumi Melaka kita kecapi sehingga hari ini akan berkekalan, sekali gus dikurniakan syafaat selain rezeki yang berlipat ganda.
“Sebelum mengakhiri ucapan, bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya ingin mengucapkan selamat meneruskan ibadah puasa serta Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Program Bayaran Ex-Gratia Kepada Nelayan Yang Terjejas Akibat Pembangunan KLIP di Dewan Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama Timbalannya Low Chee Leong, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Pengerusi Linggi Base Sdn Bhd, YM Raja Datuk Malik Saripulazan serta Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
663