
KETUA MENTERI CADANG WUJUDKAN ANUGERAH TIKTOK MELAKA
SERI BENDAHARA 23 Mac – Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Anugerah TikTok Melaka pada Majlis Anugerah Media Melaka pada tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, majlis tersebut dijangka akan diadakan pada penghujung tahun ini.
Katanya, Anugerah Tiktok Melaka itu merupakan kategori baharu yang akan diwujudkan pada majlis anugerah tersebut.
“Pada majlis itu nanti akan terdapat beberapa kategori, akan ada kategori media sosial dan kategori media arus perdana.
“Majlis itu bertujuan menghargai jasa pengamal media dan pempengaruh yang sentiasa mempromosi Melaka serta menyalurkan informasi mengenai apa yang menarik di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Moreh Bersama Ketua Menteri di Seri Bendahara, malam tadi.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Datuk Fairul Nizam Roslan dan timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Ketua Menteri menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama lebih 2,000 pemimpin masyarakat di Seri Bendahara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.