Ketua jabatan perlu kenal pasti, selesaikan masalah 2.2 peratus penjawat awam tidak daftar vaksin

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 30 Ogos- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa semua ketua jabatan mengenal pasti kakitangannya yang tidak mendaftar atau belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan segera.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya mengambil maklum sebanyak 2.2 peratus penjawat awam masih tidak mendaftar untuk suntikan dan proses mengenal pasti itu perlu dilakukan bagi mengetahui puncanya.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk merumuskan bahawa jumlah 2.2 peratus penjawat awam ini tidak mendaftar disebabkan mereka menolak untuk divaksin.

“Terdapat kemungkinan penjawat awam ini belum mendaftar kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“CUEPACS menggesa semua ketua jabatan mengenal pasti kakitangan masing-masing yang tidak mendaftar atau masih belum menerima suntikan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, selepas dikenal pasti ketua jabatan perlu mengadakan pertemuan dengan kakitangan masing-masing untuk mengetahui masalah yang timbul dan menyelesaikannya.

“Dalam masa sama maklumat berkaitan kebaikan vaksin boleh berikan jika masih ada yang tidak mendapat maklumat yang tepat.

“CUEPACS yakin proses ini boleh meningkatkan lagi peratusan penjawat awam divaksin apabila permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan didengari dan diselesaikan oleh ketua jabatan masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama CUEPACS juga berharap suntikan vaksin bagi 30,000 penjawat awam yang sudah mendaftar tetapi belum memperoleh tarikh janji temu vaksinasi disegerakan.

“Jumlah 30,000 ini sebenarnya hanya sedikit sahaja. Sekiranya fokus diberikan kepada kumpulan ini, CUEPACS yakin kesemua penjawat awam itu boleh divaksin dalam tempoh sehari sahaja melalui koordinasi dengan jabatan dan kementerian masing-masing.

“CUEPACS melihat pelaksanaan PPV bergerak ke premis dan jabatan kerajaan boleh menyelesaikan proses memvaksin 30,000 penjawat awam yang belum lagi mendapat temu janji.

“Setiap jabatan mempunyai data kakitangan yang lengkap dan proses ini boleh berjalan dengan lancar sekiranya proses vaksinasi dilakukan di premis kerajaan selain dapat mengelakkan kesesakan,” jelasnya.

Adnan berkata, sebagai jentera pentadbiran kerajaan, penjawat awam dinasihatkan tidak mengabaikan tanggungjawab dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, keengganan segelintir penjawat awam untuk divaksin hanya akan mendedahkan risiko kepada rakan sekerja sehingga mewujudkan persekitaran yang tidak selamat di tempat kerja.

“Penjawat awam adalah barisan hadapan yang berhadapan dengan rakyat dalam menyampaikan perkhidmatan sama ada melalui kaunter atau secara langsung di lapangan.

“Jadilah contoh terbaik kepada rakyat dengan menjadi individu pertama yang menjayakan setiap program dilakukan oleh kerajaan.

“Sekiranya kita mahu sektor ekonomi dibuka dengan sepenuhnya, penjawat awam perlu divaksin terlebih dahulu kerana kita semua adalah pemudahcara kepada sektor ekonomi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post ‘Hanya beg dijumpai terapung’ – adik anggota tentera
Next post Pelantikan semula Noraini terajui KPT bolehkan dasar sebelum ini diterus
Ubah saiz-+=