Ketua jabatan, ketua polis daerah digesa perkukuh integriti
JASIN 17 Feb – Semua ketua jabatan dan ketua polis daerah di Melaka perlu melipatgandakan usaha memperkukuhkan integriti dan tadbir urus cekap supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjaga keselamatan dan kententeraman awam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, usaha itu selaras dengan pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2020 – 2024.
Katanya, integriti adalah sesuatu yang melibatkan tiga perkara iaitu akal, nafsu dan perbuatan sama ada melalui lidah atau tangan.
“Sekiranya akal mengawal nafsu, maka lidah dan tangan akan bermaharajalela, lalu terjadilah pencabulan integriti dalam diri,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Jasin di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan tugas antara Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi yang sebelum ini dipangku oleh Timbalannya, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman.
Mengulas lanjut, Zainol berkata, tugas yang dipikul oleh pegawai dan anggota PDRM kini amat berat memandangkan perkembangan teknologi semakin pesat.
“Pasukan polis terpaksa berdepan cabaran-cabaran yang baharu dan ia menuntut PDRM untuk mengubah corak pengurusan dan pengoperasi supaya dapat menyesuaikan peranan teras kepada situasi yang sentiasa bergerak maju.
“Ini termasuk menggunakan sumber yang ada secara strategik bagi memastikan satu perkhidmatan yang profesional dan berkualiti dapat diberikan kepada masyarakat di samping memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kemanaan sentiasa terpelihara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.