Sorting by

×

Ketibaan PM Muhyiddin di Riyadh disambut oleh Putera Mahkota

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

RIYADH 9 Mac. – Dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, ketibaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman di ibu negara itu disambut oleh Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Baginda secara peribadi datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di sini untuk menyambut sendiri Muhyiddin dan isteri setiba mereka dari Madinah pada jam 8.25 malam, Isnin (1.25 pagi Selasa, waktu Malaysia).

Kesudian Putera Mahkota Arab Saudi itu menyambut sendiri Muhyiddin di lapangan terbang itu adalah di luar jadual.

Turut sama Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Muhyiddin kini dalam hari ketiga lawatan rasmi selama empat hari ke negara itu atas undangan Raja Arab Saudi, yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdul Abdulaziz Al-Saud dengan kemuncaknya ialah pertemuan dengan baginda secara maya di Istana Al Yamamah di sini, esok.

Lawatan tersebut antara lain bertujuan membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti teknologi dan inovasi serta bidang tenaga.

Perdana Menteri tiba dari Madinah selepas mengunjungi Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Rasulullah.

Muhyiddin, yang memulakan lawatan rasmi Sabtu, tiba di Makkah untuk menunaikan umrah dan diberi peluang memasuki Kaabah.

Terdahulu, Hishammuddin memberitahu media Malaysia bahawa Raja Salman berusia 85 tahun itu tidak pernah berkenan bertemu dengan pemimpin asing yang melawat negara itu secara bersemuka atau secara maya sejak tercetus pandemik COVID-19.

“Jadi kalau jumpa secara maya kali ini pun, dah cukup luar biasa,” kata Hishammuddin.

Perdana Menteri juga akan bertemu Putera Mohammed, yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan di istana berkenaan sebelum mengakhiri lawatan rasmi tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

858
Kongsi :
Previous post Air tebu, kelapa laris pada musim panas
Next post Kehadiran pelancong merosot 83.4 peratus
Ubah saiz-+=