Keterujaan khidmat terbaik sampai bila-bila

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MELAKA 27 Ogos – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan beliau sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Beliau menghargai kepercayaan diberikan sekali gus membulat tekad untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Saya menghargai kepercayaan yang berikan oleh perdana menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mencadangkan nama saya.

“Insya-Allah saya berjanji untuk melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan sedaya mungkin melalui kerjasama dan sokongan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Katanya, pelantikan itu dianggap satu tanggungajawab besar yang perlu digalas sebaiknya sekali gus membantu melancarkan pentadbiran yang diterajui Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya pernah bekerjasama dengan Datuk Seri Dr Wan Junaidi sebelum ini di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan saya selesa bekerja dengan beliau.

“Beliau seorang pemimpin yang sangat berwibawa dan berpengalaman luas dalam bidang undang-undang, ini akan melancarkan usaha khidmat bakti saya kepada rakyat,” katanya.

Menurut Mas Ermieyati, keterujaan berkhidmat untuk rakyat tidak hanya terhad kepada tempoh 100 hari sahaja sebaliknya terus dibuktikan sampai bila-bila.

Perdana Menteri menetapkan setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Beliau berkata, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan komited dan lebih proaktif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

993
Kongsi :
Previous post Kementerian berprestasi tinggi akan diikhtiarkan sebaiknya- Mohd Radzi
Next post ‘Pelantikan semula amanah besar’
Ubah saiz-+=