Ketengahkan produk pelancongan baharu di setiap daerah di Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SUNGAI RAMBAI 3 Disember- Produk pelancongan baharu akan dikenal pasti dan diketengahkan di setiap daerah di negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dalam Daerah Jasin telah terpilih untuk menjayakan Karnival D’Bendang yang bermula 1 Disember hingga 3 Disember (hari ini) dan menjadi lokasi terbaik penganjuran program pelancongan berasaskan pertanian.

Katanya, bagi Daerah Alor Gajah pula mempunyai produk pelancongan baharu iaitu Cruise Sungai Linggi dan Restoran Terapung Sungai Linggi yang dijangka dibuka pada pertengahan bulan ini.

“Sebenarnya kita tidak boleh fokus ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana kita ada 28 DUN, tetapi kita fokus ikut daerah. Kalau daerah Jasin inilah kaedah yang terbaik mengadakan Karnival D’Bendang bersempena dengan pesta menuai padi.

“Dalam Daerah Jasin kita berikan kepada DUN Sungai Rambai untuk mendahului dalam mempromosikan dan menjayakan agropelancongan yang cukup hebat ini, dan kita akan mencari, mengkaji dan menilai daerah-daerah lain supaya akan muncul produk pelancongan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Karnival D’Bendang di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini hari ini.

Hadir  sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Karnival D’Bendang itu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kita akan memastikan kawasan ini akan berubah wajah menjadi kawasan tarikan pelancongan baharu dan akan memberi peluang kepada masyarakat setempat dalam pelbagai kaedah ekonomi rakyat yang akan kita gerakkan (sempena TMM2024).

“Perkembangan pelancongan di Melaka akan menjadi satu detik sejarah baharu dalam mewajahkan Melaka sebagai kota pelancongan dan kota tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Kongsi :
Previous post Melaka mampu jadi penganjur program pelancongan antarabangsa – TPM
Next post Karnival D’Bendang tambat hati pelancong luar negara
Ubah saiz-+=