KESIDANG VARIETI PADI BAHARU KAWASAN LUAR JELAPANG

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MERLIMAU 4 November – Kesidang diumumkan sebagai nama rasmi bagi Varieti Padi Spesialti Baharu (MR326) dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata MR326 merupakan varieti padi baharu khusus untuk kawasan luar jelapang.

Ab Rauf optimis, pengenalan varieti baharu MR326, penetapan harga minimum padi RM1,300 per tan dan subsidi pengeluaran RM550 per tan oleh kerajaan akan memberi manfaat terutamanya kepada pesawah serta pengguna beras spesialti tempatan.

“Kampung Sempang, Merlimau merupakan sawah luar jelapang yang kurang subur dan kurang air, jadi kawasan ini memerlukan varieti yang sesuai dengan persekitaran tempatan. Hasil kajian dilaksanakan MARDI berjaya menghasilkan varieti MR326 yang sesuai dengan tanah di sini.

“Berdasarkan pemantauan dijalankan, varieti padi baharu MR326, dilihat berpotensi besar untuk menghasilkan pengeluaran antara lima hingga enam tan sehektar.

“Lazimnya, purata hasil padi di negeri Melaka adalah sekitar 2.92 tan sehektar. Namun, jika benih MR326 berpotensi menghasilkan sehingga 6 tan sehektar, saya percaya, ia dapat mendorong pengeluaran padi bagi Negeri Melaka melonjak naik sehingga 7.83 metrik tan semusim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu Mardi MR326 di Kampung Sempang di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, MARDI juga difahamkan sedang giat menjalankan Projek Perintis Teknologi Pengeluaran Varieti MR 315 (Seri Waja) di Kampung Pinang, Bukit Rambai seluas 30.4 hektar sawah padi.

Menurut beliau, projek itu telah dilaksanakan pada 3 Oktober lalu dan dijangka tuaian pertama pada Februari tahun depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

158
Kongsi :
Previous post MICT DIJANGKA BEROPERASI JUN 2025
Next post POTENSI MELAKA SEBAGAI ‘HOMEPORT’ SYARIKAT PERKAPALAN DUNIA
Ubah saiz-+=