Kesesakan ke CAC jejaskan peniaga sekitar MITC

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

Faiz Hasan

AYER KEROH 11 Feb – Kesesakan sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) berpunca daripada kenderaan yang beratur menunggu giliran ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Melaka Tengah meresahkan pemilik premis perniagaan berhampiran.

Peniaga dan pengusaha hotel sekitar MITC yang baru bangkit pasca penularan pandemik COVID-19 mengeluh, berikutan kesesakan didakwa menyukarkan laluan keluar masuk pelanggan mereka.

Pengurus Hotel MITC, Sazali Sabri mendakwa jualan restoran di hotel itu merosot 50 peratus selain jumlah penginap yang hadir secara ‘walk-in’ menurun sejak minggu lalu.

“Kesesakan ini berpunca daripada kenderaan yang beratur menuju ke CAC dan dapat dilihat ia bermula dari bulatan berhampiran stesen minyak dan menutup laluan keluar masuk ke pintu hotel.

“Kereta beratur terlampau panjang dari pagi sampailah ke tengah hari dan ini menjejaskan ramai peniaga.

“Pengurusan CAC kena lihat perkara ini dan satu penyelesaian segera perlu dilaksanakan seperti menggunakan jalan lain,” katanya.

Sementara itu pemilik restoran, Nur Muhammad Faris Abd Malek, mendakwa turut terjejas berikutan kesesakan yang berlaku.

Dakwanya, perkara sama turut disuarakan beberapa lagi peniaga yang menjalankan perniagaan sederet dengan kedai miliknya.

“Kami hilang pelanggan terutama pada waktu puncak. Jualan semakin perlahan dianggarkan turun 10 peratus berbanding sebelum ini kerana pelanggan tak mahu terperangkap dalam kesesakan.

“Selain itu kami tidak tahu mana pelanggan, mana pesakit yang menunggu giliran ke CAC kerana mereka menggunalan laluan sama,” ujarnya.

Sebagai penyelesaian dia mencadangkan kepada pihak berkenaan agar menggunakan laluan alternatif.

“Ada laluan ditutup bersebelahan Hotel Mudzaffar dan bagi saya kalau digunakan jalan itu ia lebih bagus dan tidak mengganggu peniaga di blok kami.

“Penambahbaikan perlu dilaksanakan segera agar ia tidak berterusan menggangu pelanggan yang datang ke kawasan ini,” cadangnya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1031
Kongsi :
Previous post PRN: UMNO Johor harap SPR tentu keupayaan, nasihat pengundi elak COVID
Next post 139 pengunjung, enam pemilik premis hiburan dikompaun
Ubah saiz-+=