Kesedaran mengenai bahaya dakwat surat khabar dalam kalangan peniaga meningkat
AYER KEROH 19 April – Tahap kesedaran mengenai bahaya dakwat pada kertas surat khabar dalam kalangan peniaga makanan khusus mereka menjual kuih-muih dan nasi lemak di negeri ini semakin meningkat.
Peniaga yang ditemui mengakui, penggunaan surat khabar sebagai bahan pembungkus amat popular berikutan harganya yang murah dan mudah diperolehi.
Namun majoriti peniaga menggunakan plastik sebagai alas sebelum dibungkus menggunakan surat khabar bagi mengelakkan berlaku pencemaran dakwat pda makanan dijual.
Pengusaha kedai makan Siti Rubiah Ibrahim, 60, berkata pencemaran boleh terjadi sekiranya pengendali makanan menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudian menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung.
“Bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini saya beralih kepada kertas pembungkus yang sudah ada lapisan plastik, ianya lebih memudahkan saya.
“Risau juga kalau guna surat khabar bukan sahaja boleh cemarkan makanan sebab dakwat, malah kesihatan pelanggan juga boleh terjejas.
“Biarpun sudah berniaga hampir 34 tahun, namun kita perlu jaga kualiti makanan atau kebersihan, jika tak jaga lama-lama pelanggan pun akan lari tak nak makan di kedai kita lagi,” katanya.
Seorang lagi peniaga Noor Asmah Mohd Said, 58, berkata, peniaga diminta agar menggunakan surat khabar sebagai pembungkus utama makanan yang dijual.
“Saya berniaga sejak usia 30-an lagi termasuk usahakan gerai kecil tepi jalan, bermacam jenis makanan saya jual tapi tidak pernah pula saya guna surat khabar tanpa lapik untuk bungkus makanan.
“Kita sendiri pun kalau pegang surat khabar boleh lihat dakwat kadang-kadang melekat pada jari, inikan pula nak bungkus makanan..sudah tentu berlaku pencemaran dan akan menjejaskan kesihatan pelanggan.
“Sebagai peniaga saya juga nasihatkan peniaga di luar sana supaya terus menjada kualiti dan kebersihan makanan mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.