Kesan pihak liat jelaskan cukai taksiran

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) terus menggiatkan lagi Operasi Kutipan Cukai Taksiran Harta Pintu Ke Pintu bagi mengesan pemilik premis dan kediaman yang masih gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran.

Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata, operasi itu dilaksanakan berikutan ada dalam kalangan pemilik premis dan kediaman berkenaan tidak mengendahkan notis amaran dikeluarkan pihaknya meskipun memiliki tunggakan bagi tempoh lima ke 10 tahun.

Sapiah berkata, operasi mengesan individu berkenaan dilaksanakan hampir setiap minggu oleh Unit Pengurusan Tunggakan, Jabatan Kewangan MPHTJ.

“Dalam operasi terbaru semalam, kita ke 35 kediaman dan premis perniagaan sekitar Taman Malim Permai, Taman Malim Jaya dan kawasan Industri Malim Jaya. Tujuan utama kita bukanlah untuk membuat sitaan sebaliknya berharap agar mereka ini dapat menjelaskan tunggakan itu walaupun secara berperingkat.

“Pemilik premis ini diberikan Notis Borang E yang memerlukan pemilik harta membuat pembayaran dalam tempoh 15 hari selaras dengan keperluan Seksyen 147 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya.

Menurut beliau, tunggakan cukai paling ramai adalah membabitkan kediaman yang disewakan kepada pihak lain.

Jelas beliau, pihaknya sedia untuk berbincang dan mengenal pasti punca tunggakan gagal dijelasnya meskipun notis amaran sudah dikeluarkan beberapa kali.

Katanya, MPHTJ juga memberikan cadangan berhubung kaedah untuk menyelesaikan tunggakan meskipun dibayar sedikit demi sedikit.

“Tunggakan ini bukannya untuk tempoh yang pendek, malah ada yang sudah empat, lima dan 10 tahun jadi jumlah terkumpul agak tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, operasi yang dijalankan itu bagaimanapun memberi kesan positif apabila pihaknya berjaya merekodkan jumlah pembayaran tunggakan cukai taksiran sebanyak RM6 juta.

“Kita berharap selepas ini akan lebih ramai pemilik harta yang akan tampil menjelaskan tunggakan cukai taksiran ini malah kita turut menyasarkan akan memungut kira-kira 50 peratus bayaran daripada jumlah keseluruhan tunggakan sebanyak RM14 juta hingga hujung tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1089
Kongsi :
Previous post SWM main peranan jayakan TMM2024
Next post Wanita UMNO Melaka sumbang RM116,135 untuk rakyat Palestin
Ubah saiz-+=