Kesal industri lebih memandang ‘follower’ berbanding bakat – Wan Maimunah
AYER KEROH 22 Mac- Ratu air mata, Wan Maimunah meluahkan rasa kecewa dan kesal apabila ada pihak lebih memandang ‘follower’ atau pengikut alam maya berbanding bakat dalam industri seni hari ini.
Pelakon veteran yang lebih mesra di panggil ibu atau nama sebenarnya Wan Maimunah Wan Abdul Aziz berkata, orang asing atau orang luar lebih menghargai bakat anak seni dalam negara berbanding anak watan.
“Sebenarnya di negara kita ini kadang-kadang dia (pihak produksi) lebih memilih mereka yang ramai ‘followers’ di sosial media sekarang berbanding bakat anak seni yang ada.
“Tidak seperti industri seni di luar negara yang memandang kepada bakat, mereka menghargai anak seni yang berbakat, dihargai, dihormati.
“Bukan kita minta anak seni ini disanjung atau ditatang tetapi respect (hormat) lah. Itu je. Nanti kita cakap lebi-lebih ada sahaja yang membalas, ‘ala, dah tak laku sudah lah’ , Tapi hanya Allah saja yang tahu apa kita rasa,” ujarnya sebak.
Dia berkata demikian dalam sidang media Program Ziarah Kasih Hari Seniman Negara Peringkat Negeri Melaka di sebuah restoran di sini hari ini.
Dalam program itu, Wan Maimunah antara anak seni yang diraikan selain Thomas Tan dan ST Rajah Jan yang sentiasa mengetengahkan budaya kaum Chetti.
Mengulas lanjut, Wan Maimunah merayu agar pihak produser untuk turun padang dan mengambil tahu nasib seniman tanah air.
Wan Maimunah yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam industri seni pernah pernah ditipu beberapa kali dalam pembayaran ‘palsu’ dan terasa ditindas dalam industri seni tanah air.
“Tapi kadang-kadang ada orang tahu kita penat bekerja tak dibayar. Maksudnya orang tengah yang ambil. Tapi tak apa bagi ibu, yang sebenarnya kebanyakan anak seni memendam rasa, makan hati sendiri kerana terlampau minat dan terlampau suka dengan hasil kerja.
“Sebab itu dia akhir-akhir ini kadang-kadang ibu banyak tolak tawaran sebab tak tahu nak kata, sebenarnya ibu merayu kepada produser turunlah Padang tengoklah berapa yang dibayar. Kadang bukan produser yang tak bayar, production manager yang tak bayar,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Maimunah berkata drama terbaharu lakonannya akan ditayangkan di RTM bertajuk ‘Yang Soleh’ dalam masa terdekat yang turut melibatkan artis lain dalam drama tersebut antaranya Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Zaidi Omar dan Bront Palarae.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.