Kes tikam abang ipar: Jiran dakwa nampak suspek menangis sebelum lari
UMBAI 13 Mei. – “Selepas pergelutan itu saya ternampak adik ipar (suspek) mangsa jatuh berguling di atas tanah dan meraung sebelum melarikan diri,” dakwa Zaiton Mohd Ibrahim, 46, jiran kepada lelaki yang mati akibat cedera parah ditikam bekas adik ipar akibat perebutan anak di Kampung Berangan Enam, dekat sini, pagi tadi.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama anaknya di dapur sedang memanaskan lauk bagi juadah Aidilfitri sebelum terdengar suspek memberikan salam di kediaman jirannya yang terletak di belakang rumahnya.
“Saya jenguk di tingkap dapur dan melihat keluarga mangsa tidak membukakan pintu rumah membuatkan lelaki itu terus menendang pintu berkenaan hingga terbuka dan memasuki rumah.
“Selepas itu berlakunya pertengkaran antara mangsa dan adik iparnya itu…sekejap saja. Saya kemudian nampak mangsa mencari kayu di luar dan masuk semula ke dalam rumah mungkin untuk mempertahankan diri.
“Saya dimaklumkan ahli keluarga mereka pun masih tidur dan ada yang berjaga terpaksa melarikan diri ke bilik bagi melindungi diri mereka dalam kejadian itu,” katanya ditemui di lokasi kejadian.
Zaiton mendakwa dia pernah melihat lelaki itu beberapa kali mengunjungi rumah itu yang merupakan tempat tinggal bekas isteri dan mentuanya bagi menziarahi kedua-dua anak perempuanya.
Katanya, selepas kejadian itu lelaki itu terus lari dan jatuh berguling di hadapan rumah itu dan ketika itulah dia meraung sebelum melarikan diri menggunakan kereta Perodua Kancil yang dipandunya sendiri.
“Kami semua berasa takut dan terus tutup pintu rumah sebelum tiba-tiba mendengar bunyi rempuhan.
“Rupanya ketika melarikan diri lelaki itu telah merempuh sebuah kereta pelbagai guna (MPV) dimiliki teman lelaki bekas isterinya,” katanya.
Dalam kejadian kira kira 7.30 pagi tadi seorang lelaki maut dipercayai akibat ditikam bekas adik iparnya dengan menggunakan pisau selepas mengamuk bagi merebut kedua anak perempuannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dipetik berkata, kes itu masih dalam siasatan dan suspek kini diburu pihak polis bagi membantu siasatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.