Kes tembak jurukamera sambilan: Mahkamah tolak rayuan firma keselamatan dengan kos

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PUTRAJAYA 29 Jan. – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung bayaran ganti rugi berjumlah RM114,470 kepada jurukamera sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer yang cedera dalam insiden tembakan pada 2016 di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Pulau Pinang.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Lau Bee Lan, Datuk Abu Bakar Jais serta Datuk M. Gunalan dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan syarikat keselamatan GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd dan memerintahkan firma itu membayar kos RM10,000.

Menurut peguam Simon Murali yang mewakili Mohamad Amirul, mahkamah mendapati rayuan GMP Kaisar tidak mempunyai merit.

Dalam keputusan itu, Lau dan Abu Bakar memihak kepada Mohamad Amirul sementara Gunalan menentang.

Mahkamah mendengar kes rayuan itu pada 11 Disember tahun lalu dan keputusan disampaikan pada prosiding hari ini melalui aplikasi Zoom.

GMP Kaisar merayu keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2019 yang memutuskan syarikat itu harus bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami oleh Mohamad Amirul kerana firma bertanggungjawab memastikan pistol yang disediakan untuk pekerjanya, pengawal keselamatan peribadi Jaafar Halid, digunakan bagi tujuan yang betul dan secara bertanggungjawab.

Mohamad Amirul, 33, memfailkan saman menuntut ganti itu pada 1 Jun 2018, menamakan Jaafar dan GMP Kaisar sebagai defendan.

Beliau mendakwa ditembak oleh Jaafar semasa cuba membantu seorang individu yang cedera yang disangkakannya mangsa kemalangan jalan raya ketika insiden tembakan itu pada 1 Disember 2016.

Mohamad Amirul mendakwa Jaafar menggunakan pistol jenis Glock dan menembak majikannya sehingga mati sebelum melepaskan beberapa tembakan yang menyebabkan dua lagi maut serta empat orang termasuk Mohamad Amirul cedera parah.

Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas bagi kesakitan dan penderitaan, ganti rugi teruk dan lain-lain relif yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Pada 16 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Jaafar selepas mendapati dia bersalah membunuh majikannya Ong Teik Kwong dan dua lagi dalam insiden itu.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun setiap satu bagi lima pertuduhan cubaan membunuh yang mana dia dituduh menembak lima individu termasuk Mohamad Amirul.

Views:

510
Kongsi :
Previous post Gagal patuhi SOP penginapan pekerja, 23 majikan dituduh di mahkamah
Next post MICTH tinjau 24 lokasi baharu bagi rangkaian jalur lebar
Ubah saiz-+=