Kes saman 1MDB terhadap Najib, tujuh yang lain digantung sehingga kes jenayah selesai

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Prosiding kes saman sivil US$8 bilion oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan tujuh individu lain digantung sementara sehingga perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri itu berkaitan 1MDB diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, ketika ditemui pemberita berkata ini kerana pihak-pihak terlibat telah mencapai persetujuan untuk menggantung prosiding kes saman sivil tersebut.

“Oleh itu, permohonan Datuk Seri Najib untuk menggantung prosiding kes saman sivil itu ditarik balik,” kata peguam itu selepas prosiding dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

Perkara itu disahkan peguam Datuk DP Naban yang mewakili 1MDB dan anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited selaku plaintif.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman tersebut.

Kesemua syarikat itu memfailkan saman pada 7 Mei 2021 dengan menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee, bekas Ketua Pengarah Pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bekas Ketua Pegawai Operasi Radhi Mohamad, bekas Pengarah Pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Saman itu antara 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih US$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd terhadap beberapa individu yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan itu.

Menerusi writ saman itu, kesemua plaintif antara lain mendakwa defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan staturori, menyalahgunakan kuasa, berkonspirasi serta menyeleweng dana 1MDB.

Najib, 68, yang juga Ahli Parlimen Pekan, kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Najib juga sedang dibicarakan bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1298
Kongsi :
Previous post Tanam terung, babi hutan tak ‘kacau’
Next post Zii Jia cadang berlatih di Dubai
Ubah saiz-+=