Sorting by

×

Kes penyalahgunaan dadah di Melaka menurun

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LINGGI 23 Jun – Kes penyalahgunaan dadah di Melaka menunjukkan penurunan, kata Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka, Noor Azrimah Ahmad.

Beliau berkata, berdasarkan data tahun lalu, sebanyak 1,276 kes direkodkan di negeri ini yang mana ia menurun berbanding 1,568 kes pada 2021.

Katanya lagi, setakat Mei tahun ini, hanya 243 kes telah direkodkan di Melaka membabitkan 95 kes di daerah Melaka Tengah, diikuti 96 kes di Alor Gajah dan 49 di Jasin.

“Penyalahgunaan dadah jenis Methamphetamine direkodkan tertinggi di Melaka yang mana setakat Mei tahun ini dengan seramai 771 individu masih menjalani Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

“Ia diikuti 282 orang terlibat dalam dadah jenis Opiat, 68 bagi kesalahan ganja, 18 bagi kesalahan Amfetamine (ATS) dan seorang lagi membabitkan lain-lain jenis dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Peringkat Negeri Melaka dan Jerayawara 2023 diadakan di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, di sini, semalam.

Program tersebut telah dirasmikan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Dalam pada itu, Noor Azrimah memaklumkan, AADK terus fokus untuk kembali menghijaukan semula Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) bagi membanteras najis dadah di negeri ini.

“Dalam usaha ini program-program seperti Community Empowerment, TOT NGO, Ops Aduan, Walking Message, Omnipresence termasuk ceramah-ceramah Pendidikan pencegahan dadah dan ujian urin kepada pelajar di sekolah telah dilaksanakan.

“AADK yakin melalui semua usaha yang telah dirancang dan disokong oleh komuniti setempat usaha penghijauan KBT dapat dicapai pada tahun 2023.
“Malah, kita telah membuat pelan perancangan untuk penghijauan KBT berkenaan yang akan dilaksanakan pada tahun 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2455
Kongsi :
Previous post Orang awam perlu guna imbasan kod QR Prih@tinJkm untuk tindakan pantas
Next post Pelajar universiti penyambung legasi dondang sayang
Ubah saiz-+=