
Kes kebakaran terbuka di Melaka terkawal, 503 kes direkodkan
AYER KEROH 11 Mei – Sebanyak 503 kes kebakaran terbuka direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.
Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, jumlah kes kebakaran itu melibatkan kira-kira 3,343 hektar.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 327 kes kebakaran terbuka melibatkan kebakaran belukar dengan keluasan lebih 3,000 hektar.
“Tiga daripada jumlah kes melibatkan kebakaran kebun atau ladang, manakala satu kebakaran hutan, 26 (sampah) serta 146 kes lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Melaka tidak berada pada tahap tertinggi dalam kes kebakaran terbuka berikutan saiz geografi negeri yang agak kecil.
“Bagaimanapun kekerapan kes kebakaran api terbuka di negeri ini agak tinggi. Antara kawasan yang sering kerap berlaku kebakaran terbuka adalah di Melaka Tengah, Tangga Batu dan Ayer Keroh.
“Sekiranya berlaku kebakaran terbuka luar jangka, kita akan menggunakan dron serta menjalin kerjasama dengan Jabatan Hutan untuk membuat pemantauan, biasanya kalau terlalu panas hutan akan menjadi tumpuan kes kebakaran terbuka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.