Kes HFMD di N. Sembilan meningkat 25 kali ganda
SEREMBAN, 13 Mei – Kes penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) di Negeri Sembilan merekodkan peningkatan 25 kali ganda iaitu 1,446 kes sejak Januari lepas hingga kini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata Seremban mencatatkan jumlah kes paling tinggi sebanyak 834 kes, Port Dickson (184), Jempol dan Rembau masing-masing 140 kes, Kuala Pilah (66), Tampin (53) dan Jelebu (29).
“Kumulatif wabak itu di negeri ini pada tahun ini adalah sebanyak 30 wabak dan satu wabak HFMD sahaja dikesan masih aktif di Jempol.
“Peningkatan kes yang ketara pada tahun ini berbanding tahun lepas di Negeri Sembilan antara lain adalah berikutan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing dan tidak menghantar anak ke sekolah atau tadika jika mengalami gejala HFMD seperti demam, ulser di mulut, lepuh di tangan atau kaki.
Pada 5 Mei lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata terdapat peningkatan ketara kes HFMD dalam negara dengan 22,463 kes dilaporkan hingga Minggu Epid ke-17/2022 iaitu peningkatan 12.8 kali ganda berbanding tempoh sama pada 2021 (1,752 kes).
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.