Kes COVID-19 tidak meningkat meskipun ramai perantau pulang – Dr Izani
KOTA BHARU, 10 Mei – Bilangan kes COVID-19 di Kelantan tidak menunjukkan peningkatan meskipun dengan kepulangan begitu ramai perantau menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata meskipun jangkaan awal akan berlaku kenaikan kes, namun sebaliknya berlaku dan jumlah kes masih pada dua digit.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan keberkesanan Pelan Pemulihan COVID-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti penekanan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan program vaksinasi termasuk dos penggalak.
“Syukur kerana kita sudah masuk fasa peralihan ke endemik dan bilangan kes tidak banyak walaupun di peringkat awal kita menjangkakan dengan migrasi ramai rakyat dari negeri yang kes COVID-19 tinggi ke sini, maka akan berlaku kenaikan.
“Kita bersyukur kerana sehingga hari ini iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidilfitri kes masih tidak menunjukkan peningkatan dan masih kekal di dua digit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Hari Raya Bersama Media di pejabatnya di Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Katanya meskipun terdapat kes baharu, jumlahnya tidak tinggi malah kemasukan ke hospital juga berkurangan termasuk kes serius yang membawa kepada kematian.
“Bagi saya vaksin amat berkesan bagi mencegah COVID-19 daripada menjadi semakin buruk dan ia satu kejayaan besar kepada usaha kerajaan,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak dan dos penggalak yang agak rendah di negeri ini, Dr Izani berkata jumlah kes yang semakin berkurangan mungkin menyebabkan sebahagian penduduk menangguhkan vaksinasi.
“Kemungkinan ada penduduk yang merasakan kita sudah berjaya mendapat imuniti kelompok sehingga tidak perlu lagi mendapatkan vaksin,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.