
KES BUNUH WANITA DAN ANAK SAUDARA, POLIS RAKAM KETERANGAN LIMA SAKSI
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata beberapa lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan esok bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan. Polis juga belum dapat tentukan dengan tepat berapa lama kedua-dua mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat mereka ditemukan.
“Maggot (ulat yang terdapat di tubuh mayat) telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis jangka hayat mayat dan berkemungkinan ia lebih daripada tujuh hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata mayat kedua-dua mangsa juga belum diserahkan kepada pihak keluarga untuk dikebumikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan bau busuk dari sebuah rumah di Semenyih membawa kepada penemuan mayat seorang wanita berusia 53 dan anak saudaranya berusia 25 yang dipercayai dibunuh.
Ia susulan laporan dibuat seorang lelaki warga tempatan pada 8.43 malam yang terhidu bau busuk mencurigakan dari arah rumah kakaknya.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang membantu memecah masuk pintu rumah itu kemudian menemukan mayat kedua-dua mangsa terbaring di atas lantai ruang tamu dan mereka dilaporkan sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di persekitaran rumah terbabit. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.