Kes Bella: TMJ terima menghadap Rina Harun esok
JOHOR BAHRU, 18 April – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menerima menghadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, esok.
Tunku Ismail bertitah pertemuan itu bertujuan membincangkan kes penderaan Bella, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Esok saya akan berjumpa dengan Datuk Seri Rina Harun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membincangkan isu kes Bella, dan mendapatkan taklimat terkini mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk memastikan kes sebegini tidak lagi berlaku,” titah Tunku Ismail dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Kes Bella tular di media sosial tahun lepas, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.
Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Wanita itu tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.